Diam-diam Lenovo Malaysia jual jam pintar Moto 360 generasi ke-2

Masih menjadi misteri, mengapa Lenovo tidak mengumumkan langsung kepada orang ramai, ketibaan produk barunya ke Malaysia. Bukan produk biasa, ianya adalah peranti utama berkuasa tinggi. Selepas Vibe X3 secara senyap keluar dalam iklan di suratkhabar, kali ini jam pintar Moto 360 generasi ke-2 pula.

Jam pintar terbaru di bawah jenama Motorola ini, telah ditemui mula dijual secara eksklusif, di stor dalam talian Lazada Malaysia. Terdapat 3 jenis jam Moto 360 gen-2 ini, dengan harga bermula dari RM1,399. Ia menggunakan Android Wear, dan boleh dihubungkan dengan peranti Android dan iOS.

Lenovo Moto 360 gen-2 - tali kulit dan tali getah

Tiga model jam pintar Moto 360 gen-2 yang dijual di Lazada Malaysia adalah:

1. Moto 360 42mm Hitam + tali kulit Hitam – RM1,399
2. Moto 360 42mm Emas Ros + tali kulit Blush – RM1,499
3. Moto 360 46mm Perak + tali kulit Cognac – RM1,599

Tiga jenis jam pintar Lenovo Moto 360 gen-2

Moto 360 gen-2 memiliki perumah besi tahan karat 316L, dan menggunakan kaca Corning Gorilla Glass di muka jam. Bagi jam 46mm, ia mempunyai skrin 1.56-inci beresolusi 360×330. Jam 42mm pula, mempunyai skrin 1.37-inci beresolusi 360×325.

Satu ciri yang diwarisinya dari generasi pertama, adalah skrin yang tidak bulat sepenuhnya. Skrinnya seperti tayar pancit, rata di bahagian bawah skrin. Ia direka sebegitu untuk memuatkan sensor dan memastikan bingkai skrin lebih nipis.

Lenovo Moto 360 gen-2 - dok pengecas

Moto 360 berhubung dengan peranti melalui Bluetooth dan Wifi. Ia juga memiliki pengimbas degupan jantung, dan diiktiraf kalis air dan debu IP67. Terdapat juga butang di tepi jam seakan jam tangan biasa, yang kini menjadi trend rekaan jam pintar terbaru.

Dengan harga sebegini, ia terletak di dalam kumpulan yang sama dengan jam pintar Samsung Gear S2. Jika mahukan jam Android Wear yang lebih bergaya, mungkin Huawei Watch lebih sesuai, tetapi dengan harga lebih tinggi, sekitar RM1,799-1,999.

Jika mahu membeli jam Moto 360 gen-2 ini, layari lamanweb Moto 360 di Lazada Malaysia.

[SUMBER]

TheSkop

Portal Teknologi dan Gaya Hidup Paling Best di Malaysia

%d bloggers like this: