[CES 2016] Razer Nabu Watch gabung fungsi pintar di jam tangan biasa

Bukan jam pintar, tapi jam tangan yang pintar. Ini yang cuba dibawakan Razer dalam jam tangan pertama dihasilkan mereka, Razer Nabu Watch. Ia adalah jam tangan sebenar, yang dilengkapi skrin kedua, memaparkan notifikasi dari telefon pintar.

Sekali pandang, Razer Nabu Watch mempunyai rekaan seakan jam tangan Casio G-Shock. Ia membawakan fungsi penuh jam tangan digital yang biasa, bersama fungsi pintar yang berhubung dengan telefon pintar.

Razer Nabu Watch - sisi kanan

 

Masalah utama jam pintar, adalah jangka hayat bateri dan kekurangan fungsi jam tangan biasa. Razer membawa penyelesaian dengan menggabungkan jam tangan digital biasa sebagai fungsi utama, dan skrin kedua dengan kebolehan pintar sebagai fungsi kedua.

Skrin utama Razer Nabu Watch membawakan pelbagai fungsi jam tangan biasa, seperti paparan berlampu, kiraan detik, jam randik, waktu jam sedunia dan penggera jam. Waktu di skrin utama ini diselaraskan secara automatik, menerusi Bluetooth ke peranti pintar.

Fungsi penuh jam tangan digital di Razer Nabu Watch

Fungsi jam tangan biasa di Razer Nabu Watch, mampu hidup selama 12 bulan, dengan bateri berbentuk bulat yang boleh diganti. Ini memastikan, jam tangan ini boleh digunakan seperti biasa, tanpa risau untuk mengecas setiap hari, atau setiap minggu.

Fungsi pintar di skrin kedua Razer Nabu Watch, memaparkan notifikasi dari telefon pintar, seperti mesej baru, pemantau kecergasan dan komunikasi dengan peranti Nabu yang lain. Pengguna boleh mendapatkan notifikasi seperti panggilan, teks, emel, serta aplikasi, apabila dihubungkan dengan telefon pintar melalui Bluetooth.

Razer Nabu Watch - skrin kedua dengan fungsi pintar

Fungsi pemantau kecergasan menggunakan sensor accelerometer, yang terbina di dalam Razer Nabu Watch. Ia boleh mengira langkah, jarak perjalanan, pembakaran kalori dan lain-lain. Semua data ini boleh dilihat di telefon pintar, menerusi aplikasi Nabu yang boleh dimuat turun melalui Apple Playstore dan Google Playstore.

Pengguna Razer Nabu Watch, Nabu dan Nabu X, boleh berkomunikasi secara terus, dengan fungsi komunikasi jam-ke-jam. Ia boleh menghantar maklumat tentang Facebook dan Twitter antara satu sama lain.

Untuk skrin kedua ini, ia menggunakan bateri berbeza. Bateri ini boleh dicas menggunakan kabel yang disediakan, dan mampu bertahan sehingga tujuh hari dengan sekali cas.

Razer Nabu Watch dan Nabu Watch Forged Edition

Terdapat dua versi Razer Nabu Watch. Versi standard menggunakan material polikarbonat dan dihiasi warna hijau Razer. Ia akan mula dijual di Amerika Syarikat akhir bulan Januari ini, pada harga USD149.99 (~RM657).

Versi kedua dikenali sebagai ‘Forged Edition’. Ia menggunakan butang besi tahan karat, serta kemasan hitam premium. Ia mula dijual di Amerika Syarikat sekarang, secara eksklusif di kedai RazerStore dan lamanweb RazerStore.com, pada harga USD199.99 (~RM876).

Maklumat lanjut boleh didapati di laman produk Razer Nabu Watch.

TheSkop

Portal Teknologi dan Gaya Hidup Paling Best di Malaysia

%d bloggers like this: