10 peranti terbaik tahun 2015 menurut Antutu adalah

Jika mahu membuat ujian prestasi di telefon pintar, AnTuTu adalah aplikasi yang sering digunakan. Baru-baru ini, AnTuTu telah mempamerkan laporan, tentang 10 telefon pintar dengan markah tertinggi, bagi tahun 2015.

Pada versi 5 sebelum ini, AnTuTu tidak menggabungkan kedudukan telefon pintar Android dan iOS. Ia diletakkan dalam jadual yang berbeza. Tetapi dengan kedatangan AnTuTu versi 6, ia mula menggabungkan kedua-dua platform mudahalih, yang paling banyak digunakan di dunia ini.

Dan Apple berjaya mengatasi semua peranti Android, untuk menduduki tangga pertama. Malah, ia jauh meninggalkan semua pencabar dari Android, dengan perbezaan markah yang amat ketara.

10 markah antutu v6 terbaik tahun 2015

Menurut laporan AnTuTu ini, iPhone 6s Plus mendapat markah purata 132,620 dalam ujiannya. Manakala di tempat kedua, adalah Huawei Mate 8 dengan markah 92,746. Markah yang diperolehi iPhone 6s Plus, hampr 1.5x lebih dari Huawei Mate 8.

Secara spesifikasi, iPhone 6s Plus dikuasakan cip Apple A9, dwi-teras berkelajuan 1.84GHz bersama GPU PowerVRGT6700 dan 2GB RAM. Manakala Huawei Mate 8 dibekalkan CPU Kirin 950, yang dikuasakan 4-teras cip A72 2.3GHz dan 4-teras lagi cip A53 1.8GHz. Ia dipadankan dengan GPU Mali-T880 MP4 dan 4GB RAM.

Meizu Pro 5 di tempat ketiga, berkongsi CPU yang sama dengan Samsung Galaxy Note5 di tempat ke-4, dan Samsung Galaxy S6 Edge+ di tempat ke-5. Ketiga-tiga telefon ini menggunakan CPU Samsung Exynos 7420. Di sini, Meizu Pro 5 dilihat mengatasi dua telefon Samsung ini, kerana ia mempunyai skrin HD Penuh sahaja. Berbeza dengan dua telefon Samsung, yang menggunakan skrin beresolusi lebih tinggi, Quad HD.

Telefon pintar yang dilancarkan pada tahun 2014, iPhone 6 Plus menduduki tangga ke-6. Selepas itu, barulah telefon pintar yang dikuasakan CPU Qualcomm Snapdragon 810 tersenarai.

OnePlus 2 berada di tangga ke-7, diikuti LeTV 1Pro di tangga ke-8, Xiaomi Mi Note Pro di tempat ke-9 dan Nexus 6p menduduki tangga ke 10. Keempat-empat telefon pintar ini menggunakan CPU Qualcomm Snapdragon 810, CPU terbaik keluaran Qualcomm bagi tahun 2015. Sama seperti tadi, OnePlus 2 berada di atas kerana mempunyai skrin HD Penuh, dan LeTV 1Pro, Xiaomi Mi Note Pro serta Nexus 6p mempunyai skrin Quad HD.

Dari kedudukan markah ini, dapat disimpulkan perkakas berkuasa tinggi sahaja tidak mencukupi. Optimasi perkakas bersama sistem operasi iOS, dilihat telah mengatasi pelbagai pengeluar telefon pintar Android, walaupun modelnya setahun lebih lama.

Pendek kata, CPU Apple A9 > HiSilicon Kirin 950 > Samsung Exynos 7420 > Apple A8 > Snapdragon 810.

Memang iPhone terkenal dengan sistem operasi iOS yang dikatakan sangat lancar dan tiada lengah masa. Tetapi, markah ujian bukanlah segala-galanya. Pengguna harus menitik beratkan, bagaimana bentuk pengalaman yang mereka mahukan dari telefon pintar. Pantas dan lancar, atau lebih kawalan terhadap peranti.

Jangan biarkan peranti menguasai hidup anda. Anda sendiri, seharusnya yang mengawal peranti, sebagai alat bantuan untuk menjadikan kehidupan anda lebih baik.

[SUMBER: 1, 2]

TheSkop

Portal Teknologi dan Gaya Hidup Paling Best di Malaysia

%d bloggers like this: