Vmall uji sistem tukar tebus telefon lama dalam talian

Banyak jenama kini menggunakan model jualan dalam talian, bagi menjimatkan kos dan mengurangkan harga jualan telefon pintar. Satu masalah besar yang dihadapi pembeli pula adalah, apa yang perlu dilakukan dengan telefon lama? Jika pergi ke kedai telefon, boleh juga menukar tebus telefon lama, kepada rebat untuk membeli telefon baru. Kerana itu, Vmall ingin memberikan penyelesaian kepada masalah ini.

Vmall Malaysia kini membuat ujian di tahap BETA, untuk laman tukar tebus telefon lama kepada kupon baucer Vmall. Pengguna boleh menebus telefon lama mereka, kepada baucer yang kemudian boleh digunakan membeli telefon baru di laman Vmall.my. Vmall bekerjasama dengan LTG Technologies Sdn Bhd, untuk program tukar tebus ini.

banyak jenama diterima ditukar tebus di Vmall

Caranya kelihatan sangat mudah. Pertama pergi ke lamanweb tukar tebus Vmall. Kemudian pilih jenama dan model telefon pintar. Vmall menyenaraikan banyak model telefon pintar, yang diterima untuk ditukar tebus. Seterusnya, pilih kondisi telefon samada baik, berfungsi atau rosak. Ya, Vmall turut menerima telefon pintar yang rosak. Telefon yang tidak boleh hidup atau yang terjun ke dalam air, diterima untuk ditukar tebus pada kadar sangat minima.

Langkah seterusnya ialah memberikan butir peribadi seperti nama, alamat rumah, emel dan no telefon. Pengguna juga perlu memilih tarikh dan masa untuk pungutan dibuat. Vmall ID juga perlu diberikan, untuk e-baucer dihantar kemudian.

Akhir sekali, semak semula segala maklumat, dan tekan butang ‘Confirm’. Selesai sudah tugas di lamanweb.

pengesahan proses tukar tebus telefon lama di Vmall

Selepas ini, pengguna perlu menyediakan telefon pintar mereka, samada dibungkus di dalam bungkusan bergelembung, atau di dalam kotak. Tiada aksesori lain perlu disertakan, selain peranti dan bateri sahaja. Nantikan ketibaan pemungut pada tarikh dan masa yang ditetapkan tadi.

Telefon itu kemudiannya akan diperiksa kondisi, dan pihak LTG akan memaklumkan nilaian peranti tersebut. Jika sama, pengguna akan menerima kod baucer untuk digunakan di Vmall.my kelak. Jika terdapat perbezaan, LTG akan memaklumkan harga nilaian baru dan memaklumkan pengguna, untuk menerima penilaian baru ini atau tidak.

Beberapa perkara menarik yang terdapat pada sistem tukar tebus Vmall.my ini adalah, pungutan percuma untuk nilaian melebihi RM40, baucer Vmall yang tiada had luput dan tiada had untuk mengumpulkan pelbagai telefon untuk ditukar tebus, ke dalam satu baucer. Kerana dalam pembelian di Vmall, hanya satu kupon boleh digunakan dalam satu pembelian.

Laman tukar tebus Vmall ini sedang dalam peringkat ujian BETA. Ia dijangka akan dibuka kepada semua, pada awal tahun depan. Kini, ada cara lebih mudah untuk menukar telefon lama anda, kepada telefon baru Honor dan Huawei.

[SUMBER]

TheSkop

Portal Teknologi dan Gaya Hidup Paling Best di Malaysia

%d bloggers like this: