Penjual paksa pembeli bayar RM10,000 untuk telefon berharga RM800

Apa yang terjadi apabila telefon yang ingin dibeli, tiba-tiba dinaikkan harga oleh penjual? Dalam satu kes di Kompleks Kota Raya, seorang pembeli telah dikurung kerana dikatakan tidak mahu membayar harga telefon, yang tiba-tiba melonjak naik dari RM800 kepada RM10,000.

Pembeli ini pada awalnya dimaklumkan harga empat telefon yang ingin dibelinya, berjumlah RM800 sahaja. Tetapi beliau membatalkan hasrat untuk membelinya, apabila penjual dikatakan menaikkan harga dan menyuruhnya membayar RM10,000 untuk telefon tersebut.

Pembeli ini kemudiannya dimasukkan ke sebuah bilik kecil berhampiran kedai, dan dipaksa membayar harga baru tersebut. Beliau yang tidak mahu meneruskan pembelian, dikurung oleh penjual yang mahu beliau membayarnya.

Selepas dipaksa memeriksa baki akaun dan mendapati beliau hanya boleh mengeluarkan RM5,000 dari mesin ATM, penjual tersebut melepaskan beliau dan mengambil RM5,000 tersebut. Bertambah malang, telefon pintar yang diberikan adalah berlainan dari yang dipersetujui awalnya.

Mangsa, Dipres Nasution Mohd. Arifin, berumur 28 tahun, kemudiannya cuba membuat aduan di beberapa tempat termasuk termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK). Tetapi beliau kecewa kerana tiada sebarang tindakan diambil.

Selepas itu, beliau melaporkan kepada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), yang seterusnya menyerbu kedai tersebut hari ini, yang terletak di Kompleks Kota Raya, Jalan Tun Cheng Lock.

Penipuan telefon pintar di Kotaraya

Serbuan PPIM itu mendapati, banyak kedai telefon di Kompleks Kota Raya menjual telefon tiruan pada harga terlalu mahal. PPIM berjaya membantu tujuh orang mangsa menuntut semula sebanyak RM11,900 daripada beberapa penjual.

Pembeli dinasihatkan untuk lebih berhati-hati apabila membuat sebarang pembelian, tidak kira produk IT atau barangan di rumah. Ramai pembeli mudah rambang mata, terutama sekali apabila ditawarkan produk pada harga yang di luar kebiasaan. Lengkapkan diri dengan ilmu, agar tidak mudah ditipu.

[SUMBER]

TheSkop

Portal Teknologi dan Gaya Hidup Paling Best di Malaysia

%d bloggers like this: