Cuba sendiri & bawa pulang Mi In-ear Headphones Pro baru Xiaomi

Selain telefon pintar yang berkuasa tinggi dan murah, dan powerbank yang juga berkualiti dan murah, Xiaomi turut menghasilkan fon kepala yang bagus, dan paling penting murah.

Baru-baru ini, Mi Malaysia baru sahaja mula menjual fon kepala dalam telinga, Piston V3 pada harga hanya RM69. Jika anda mahukan fon atas kepala yang lebih premium, Xiaomi turut menjual Mi Headphones yang berharga RM369.

Mi In-ear Headphone Pro - atas kayu

Kini masanya untuk Xiaomi memperkenalkan produk audio baru. Mi Malaysia mengumumkan di Facebook, kemunculan Mi In-ear Headphone Pro di Malaysia tidak lama lagi. Lebih menarik, Mi Malaysia mencari peminat untuk turut sama mencuba headfon baru ini dalam pertemuan khas peminat, hujung minggu ini.

Headfon dalam telinga baru ini dikatakan adalah unit hibrid, datang dengan pemacu dinamik, yang dipadankan dengan pemacu dua-arah balanced-armature (BA). Ia mungkin adalah fon kepala tiga-arah paling kecil dalam pasaran kini. Xiaomi turut mendapatkan khidmat Jurutera Bunyi dan Pemenang Anugerah Grammy, Luca Bignardi untuk menala fon kepala ini.

Kotak Mi In-ear Headphone Pro - direka oleh 1more Design

Dari segi binaan, ia menggunakan badan besi dengan potongan berlian dengan kemasan yang licin, sama seperti siri Piston sebelum ini. Ia juga datang bersama mikrofon terbina dalam wayar, bersama tiga butang kawalan bunyi dan pemain lagu, untuk kegunaan bersama telefon pintar. Wayarnya dilindungi kevlar untuk dayatahan yang lebih lama.

Headfon Pro ini mempunyai kadar impedansi 32Ω, sama seperti Piston V3. Tetapi ia lebih sensitif dengan 101dB, berbanding 98dB pada Piston V3. Beratnya hanya 14 gram, dan ia dijual di China pada harga RMB99 (~RM66). Harganya di Malaysia mungkin lebih tinggi, untuk menampung kadar tukaran matawang yang tidak menentu.

Perjumpaan peminat Mi Malaysia bersama pelancaran Mi In-ear Headphone Pro

Jika anda ingin menjadi antara yang pertama di Malaysia mencuba dan memiliki Mi In-ear Headphone Pro ini, apa kata anda sertai pertemuan peminat yang akan diadakan Mi Malaysia hujung minggu ini.

Pada Ahad ini, 6 Disember 2015, Mi Malaysia akan mengadakan perjumpaan peminat bersama Pengarah Pemasaran Produk 1more, Patrice Chen sebagai barisan hadirin perjumpaan ini.

Untuk menyertai perjumpaan tertutup ini, anda boleh mendaftar minat anda di sini. Jika permohonan anda terpilih, anda boleh mendapatkan Mi In-ear Headphone Pro ini secara percuma, tetapi selepas anda bersetuju untuk berkongsi pengalaman menggunakannya, di dalam forum MIUI kelak.

[SUMBER: 1, 2]

TheSkop

Portal Teknologi dan Gaya Hidup Paling Best di Malaysia

%d bloggers like this: