Tencent lancar penstriman muzik JOOX ke Malaysia

Tencent, syarikat yang menghasilkan sistem permesejan popular Wechat, mengumumkan servis penstriman lagu terbarunya di Malaysia, yang dikenali sebagai JOOX. Ini menambah pilihan kepada penstriman muzik sedia ada di Malaysia seperti Spotify, Deezer, Guvera, KKBox dan macam-macam lagi.

Seperti aplikasi penstriman muzik yang lain, JOOX menawarkan servisnya secara percuma, tetapi dengan had. Apa yang menarik, anda boleh menggunakan aplikasi JOOX di dalam mod pelawat (guest mode) tanpa perlu mendaftar masuk. Tetapi dengan mendaftar masuk atau melanggan servis VIP, anda pasti mendapat lebih banyak lagi.

Joox Music di iOS dan Android

JOOX menawarkan servis premium VIP dari serendah RM14.90, yang memberikan kelebihan kualiti muzik HD, melangkau lagu tanpa had, pilihan senarai lagu tanpa had, muat turun lagu untuk mendengar di luar talian, serta tiada iklan dipaparkan. Jika anda masih tidak pasti, JOOX memberi tempoh percubaan dengan fungsi VIP penuh selama 30 hari, dari hari pertama anda mendaftar secara percuma.

JOOX mensasarkan pengalaman mendengar lagu yang menepati citarasa rakyat Malaysia. Antarmukanya dibahagikan kepada tiga ruangan iaitu Hits Melayu, Hits China dan juga Hits Antarabangsa. JOOX mempunyai simpanan lagu tempatan dan antarabangsa yang agak luas. Ini termasuk lagu terbaru dari artis Malaysia, Indonesia, Jepun, Korea serta antarabangsa. Malah, koleksi lagu penyanyi kontroversi Taylor Swift juga terdapat di dalam simpanan lagu JOOX.

Antaramuka JOOX carta hits dan artis

Antaramuka JOOX playlist dan radio

Senarai lagu di dalam JOOX, dipilih dan dihasilkan oleh kurator muzik tempatan. JOOX mempunyai pelbagai jenis senarai lagu mengikut mood, acara istimewa dan juga bahasa. Jika anda masih tidak pasti mahu mendengar lagu apa, pergi sahaja ke ruangan Radio yang menampilkan pelbagai lagu terpilih mengikut genre. Terdapat radio Melayu, China, serta J-POP dan juga K-POP.

JOOX kini boleh dinikmati oleh pengguna iOS dan juga Android. Penggunaan premium VIP boleh diakses dengan bayaran RM14.90 sebulan. Bagi pengguna kali pertama, anda akan menerima akses premium VIP selama 30 hari, sebelum diturunkan ke pengguna biasa. Lebih banyak maklumat tentang aplikasi penstriman yang dihasilkan oleh Tencent ini boleh didapati dilamanweb www.joox.com

TheSkop

Portal Teknologi dan Gaya Hidup Paling Best di Malaysia

%d bloggers like this: