Hampir Dicabul Rakan WeChat

Saya tersentuh dengan entri yang diterbitkan di TheSkop bertajuk Luahan Bapa: “Saya Jadi Hamba Whatsapp” seperti yang tersiar minggu lepas. Tergerak juga hati saya untuk meluahkan pengalaman yang saya pendamkan.

Umur saya 16 tahun, seorang pelajar perempuan di sekolah menengah di Lembah Klang. Saya menggunakan sebuah aplikasi, WeChat sejak 2013. Pada masa itu, saya merasakan aplikasi ini sesuai untuk jiwa remaja serta rakan-rakan pun turut sama untuk memakai aplikasi tersebut.

Saya diberi kebenaran untuk menggunakan telefon pintar oleh ibu saya. Saya tidak mempunyai bapa dan tinggal bersama seorang kakak. Saya merasakan aplikasi WeChat sangat menepati kehendak saya dan rakan sebaya.

Sudah pastilah saya teramat suka menggunakan WeChat. Ada sticker dan pelbagai ciri lain yang menyebabkan saya tertarik dengan WeChat.

 

Dalam WeChat juga saya mengenali kawan baru. Saya tinggal di Kuala Lumpur dan secara tiba-tiba boleh bersembang online dengan kawan-kawan baru dari Johor Bahru, Kedah, Kelantan dan banyak lagi.

Saya jujur meletakkan gambar sendiri dalam profil dan menerima undangan untuk bersembang dengan ramai lelaki. Perasaan saya sudah pastilah seronok, ditambah pula apabila saya menerima banyak emotikon yang menggembirakan hati saya. Terasa seperti dilayan dengan layanan yang sangat khas.

Kebanyakan masa saya habis di WeChat terutama pada waktu malam. Ada saja lelaki-lelaki yang memberi mesej tidak kira waktu. Biasanya saya hanya akan melayan mereka yang meletakkan foto sebenar.

wechat2

Tidak dinafikan, selepas agak lama bersembang, memang ada yang miang dan mahu berkenalan di luar aplikasi WeChat. Saya akan tolak disebabkan terlalu takut.

Dalam WeChat saya mengenali lelaki dengan nama Razman (TheSkop tidak memaparkan nama profil sebenar). Dia kelihatan agak baik dalam WeChat. Hampir 10 bulan kami bersembang dan dia agak berbeza daripada lelaki lain.

Kalau lelaki lain, ada yang telah mengajak saya untuk ‘dating’ walaupun baru 3 hari bersembang di WeChat.

Razman bagaimanapun bukan inidividu seperti itu, dia melayan saya dengan hormat. Ayatnya sentiasa menceriakan dan kerap bertanya soal persekolahan. Dia mengatakan dia menuntut di universiti di selatan tanah air.

Saya lebih selesa dengan Razman. Kami bertukar-tukar emotikon dan dia paling pandai menghantar emotikon yang saya gemar. Pendek kata, berbeza dengan lelaki yang lain.

Setelah lama, dia memaklumkan ingin berjumpa dengan saya secara berdepan. Saja-saja lepak minum dan berbual. Katanya sudah lama bersembang online dan tidak elok. Walaupun dengan orang lain saya menolak, tetapi dengan Razman saya tidak pandai untuk memberi alasan untuk menolak undangan tersebut.

Tambah pula, saya merasakan dia terlalu baik terhadap saya. Razman mengatakan ketika cuti semestar nanti, dia akan singgah ke Kuala Lumpur sebelum balik ke kampungnya di Utara.

Saya akhirnya beralah dan bersetuju untuk berjumpa selepas agak lama memikirkannya. Yelah, dia pun baik dalam WeChat, jadi apa salahnya berjumpa. Razman pula berjanji hanya akan berjumpa pada waktu siang pada hari Sabtu.

Hari yang ditunggu tiba, saya gementar tapi tiada pula rasa lain macam. Razman berjanji untuk datang pada pukul 4. Kemudian saya menerima mesej mengatakan dia lambat sedikit disebabkan trafik sesak dari Selatan.

Akhirnya, dia memberi mesej pada pukul 9 malam mengatakan beliau di Kuala Lumpur dan ingin menjemput saya di rumah untuk ke kedai makan berhampiran. Pada mulanya saya seakan tidak mahu keluar rumah. Ibu pula tiada.

Tetapi perasaan bersalah pula timbul. Razman dah datang jauh, takkan mahu dibiarkan. Saya akhirnya bersetuju untuk menunggu di simpang berhampiran kawasan perumahan saya.

Razman tiba dengan keretanya. Saya mengecamnya melalui gambar profil ditambah pula Razman sudahpun memberi nombor pletnya. Saya masuk di tempat duduk depan bersebelahan Razman. Selepas menyapa, dia mengajak untuk ke kedai makan berhampiran dan meminta saya untuk menunjuk jalan k kedai makan paling sedap di situ.

Tetapi kami tiba di satu kawasan yang agak sunyi dan Razman memberhentikan keretanya di depan pam air. Saya berasa kurang selesa tapi agak kaku untuk berbuat apa-apa. Secara tiba-tiba Razman memegang pipi saya. Saya berdebar dan kemudian perasaan takut timbul. Belum sempat saya memintanya untuk menghantar saya balik, secara tiba-tiba tangan Razman cuba menyentuh baju saya. Saya takut, panik.

Tiba-tiba terdapat silauan lampu dan bunyi hon. Razman memandang ke depan dan saya cepat-cepat membuka pintu kereta. Lega apabila tidak berkunci. Saya terus berlari, panik dan tanpa tujuan. Dalam keadaan kelam kabut itu saya tiba di depan sebuah sekolah. Pengawal keselamatannya keluar dan bertanya apa yang telah jadi pada saya yang kelihatan ketakutan. Saya meminta untuk meminjam telefon dan menghubungi kakak saya.

Apa yang saya ingat, kakak tiba dengan rakannya dan membawa saya pulang. Selepas menceritakan detik itu, kakak memarahi saya. Cukup marah tetapi kami bersetuju untuk menyembunyikan hal ini dari ibu. Saya juga tidak membuat laporan polis pada masa itu. Saya malu.

Saya juga kehilangan telefon, mungkin jatuh dalam Razman. Selepas sekian, saya bersyukur tidak berlaku apa-apa pada saya. Saya sangat menyesal tentang apa yang terjadi. Kepada Razman, saya harap awak tidak melakukan perkara ini kepada orang lain.

P/S: Artikel ini disiarkan untuk memberi pengajaran kepada masyarakat Malaysia untuk lebih berhati-hati ketika bersosial secara online. Ia diceritakan kembali kepada penulis yang dihubungi pengadu

wechat

 

Sam

Bekas wartawan di New Straits Times Press yang kini sepenuh masa bersama TheSkop.com berpengalaman lebih 15 tahun dalam bidang teknologi

%d bloggers like this: