Dolby Atmos beri pengalaman menonton filem lebih realistik

Sistem bunyi adalah satu titik kritikal dalam penghasilan filem. Jika dilihat pada sistem bunyi yang lama, ia memerlukan dua kabel berasingan untuk menyalurkan data, berbanding satu kabel sahaja untuk video. Sistem bunyi telah berevolusi dari sistem stereo kiri dan kanan, kepada pelbagai jenis format dengan tetapan pembesar suara di depan, belakang dan disertakan woofer yang fokus kepada penghasilan bunyi bass yang dalam.

Dolby, salah satu syarikat terkemuka teknologi bunyi, sebelum ini telah menghasilkan pelbagai format bunyi seperti Dolby Digital, Dolby Surround dan terkini, mereka memperkenalkan sistem bunyi keliling yang dipanggil Dolby Atmos.

Dolby Atmos setup 4 speakers overhead

Jika format pembesar suara 2.1 menghasilkan bunyi kiri dan kanan berbeza, dan format 5.1 menambah bunyi depan dan belakang yang berlainan, Dolby Atmos membawa pendengar ke satu tahap lebih tinggi, dengan memperkenalkan teknologi bunyi di atas kepala. Ini menambah satu lagi format pembesar suara, menjadi seperti 5.1.2 ataupun 7.1.4, bergantung kepada sistem pembesar suara.

speaker dolby atmos di atas kepala 2

Tetapi untuk pengalaman Dolby Atmos terhebat, anda perlu mengalaminya sendiri di dalam panggung wayang. Di Malaysia, Golden Screen Cinemas (GSC) telah melengkapkan beberapa dewan tayangannya dengan kelengkapan bunyi Dolby Atmos. Sehingga 64 pembesar suara dipasang di dalam dewan untuk penghasilan bunyi yang boleh anda rasai. Bunyi yang dihasilkan tidak lagi terhad di kiri dan kanan, atau depan dan belakang, tetapi ia boleh berada di mana-mana sudut dengan tepat, termasuk di atas kepala anda.

 

Pihak Theskop telah berpeluang merasai sendiri pengalaman Dolby Atmos, ketika sesi tayangan perdana ‘Avengers: Age of Ultron’ bersama pembaca kami di GSC 1 Utama, salah satu dari 7 panggung GSC yang dilengkapi Dolby Atmos. Sebelum tayangan dimulakan, GSC menayangkan demonstrasi bagaimana sistem Dolby Atmos berfungsi. Sebuah helikopter berlegar-legar dan bunyinya memang dapat didengari benar-benar ke lokasi ia berada. Berbeza dari sistem 5.1 atau 7.1 yang pernah kami dengari sebelum ini.

avengers-dolby-atmos-gsc-mindblow

Kemudian kami menonton filem Avengers: Age of Ultron dengan sistem bunyi Dolby Atmos. Filem ini penuh dengan aksi, tembak menembak, letupan di sana-sini dan adegan terbang dan melompat sepanjang masa. Tetapi, berbeza dengan tayangan demo sebelum itu, filem Avengers tidak memberikan pengalaman bunyi yang diharapkan dari sistem Dolby Atmos ini. Bunyi yang terhasil berada di semua tempat, ibarat bunyi mono sahaja.

Melainkan pada satu babak, terdapat askar berkawat dari belakang ke depan. Di babak ini dapat didengari bunyi tapak kaki mereka datang dari belakang dewan, sedikit demi sedikit hingga ke depan skrin. Mungkin talaan bunyi di dalam filem sendiri yang tidak dapat menonjolkan kehebatan Dolby Atmos, tapi kami dapat rasakan perbezaannya dalam detik masa yang sedikit ini. Memang mengagumkan.

Jika anda berminat untuk merasai sendiri pengalaman bunyi hebat Dolby Atmos ini, anda boleh pergi ke salah satu dari cawangan GSC di bawah ini:

1. GSC 1 Utama (New Wing) (Hall 3)
2. GSC Pavilion KL (Hall 3)
3. GSC Quill City Mall (Hall 1)
4. GSC NU Sentral (Hall 3)
5. GSC Ipoh Parade (Hall 1)
6. GSC IOI City Mall, Putrajaya (Hall 10 & 11)
7. GSC Gurney Plaza (Hall 3)

Pastikan anda memilih filem yang mempunyai Dolby Atmos, dengan beza harga RM1 lebih mahal dari tiket biasa. Pada masa artikel ini ditulis, terdapat dua filem yang ditayangkan di GSC 1 Utama, dengan sistem bunyi Dolby Atmos, iaitu Avengers: Age of Ultron dan juga Helios. Untuk maklumat lanjut berkaitan Dolby Atmos di GSC, layari lamanweb GSC Dolby Atmos.

Akan datang, beberapa filem yang akan menyokong sistem bunyi Dolby Atmos adalah seperti Mad Max: Fury Road, Tomorrowland, San Andreas, Spy, Terminator Genisys, Marvel’s Ant-Man, Pixels dan banyak lagi. Senarai penuh boleh didapati dari lamanweb Dolby di sini. Diharapkan, perbezaan RM1 nanti akan dapat memberikan pengalaman menonton filem yang lebih menakjubkan dari biasa.

TheSkop

Portal Teknologi dan Gaya Hidup Paling Best di Malaysia

%d bloggers like this: