Android M akan diumum di Google I/O 2015

Sudah hampir setahun berlalu, sejak Google mengumumkan Lollipop sebagai sistem operasi yang baru. Kini, Google I/O yang diadakan pada setiap bulan Mei, akan menyatukan pembangun aplikasi dan pembina program bagi membincangkan kepelbagaian penggunaan sistem Google yang sangat luas.

Salah satu topik yang bakal dibentangkan pada acara Google I/O kelak ialah sistem operasi mudahalih Android. Selepas kemunculan Android 5.0 yang diberi nama Lollipop, kini tibalah pula manisan baru yang akan dinamakan kepada sistem operasi yang baru ini. Google memberi nama sistem operasi Android mengikut turutan huruf. Jadi selepas nama L pada Lollipop, maka huruf M adalah seterusnya. Buat masa ini, ia akan dikenali sebagai Android M sebelum nama penuhnya diumumkan.

 

Carta OS Android 20150511

Menurut laporan Google, Android Lollipop buat masa ini masih kurang meluas digunakan, apabila hanya kira-kira 9.7% dari keseluruhan pengguna Android di seluruh dunia. Android 4.4 KitKat mempunyai kadar pengguna sebanyak 39.8% manakala Android JellyBean yang diperkenalkan 3 tahun lepas, berada di kelompok terbanyak juga dengan 39.2% pengguna.

Naiktaraf sistem operasi Android bergantung sepenuhnya kepada usaha pengeluar. Setiap model telefon yang dihasilkan, memerlukan perhatian berbeza sebelum naiktaraf ini boleh diberikan kepada pengguna. Kebanyakan pengeluar kini meletakkan had selama dua tahun pada setiap peranti untuk menerima naiktaraf Android, dengan fokus utama kepada peranti model utama. Kebiasaannya, peranti kelas bawah hanya menerima satu naiktaraf Android sahaja.

hashtag IO15

Walaupun begitu, Google tetap meneruskan usaha memperkenalkan sistem operasi Android yang baru, untuk memberikan lebih banyak fungsi dan penggunaan ke dalam peranti Android. Apakah jangkaan anda untuk nama terbaru Android M ini?

Google I/O akan diadakan pada 28 Mei 2015 dan boleh ditonton secara langsung melalui strim di Youtube. Pastikan anda tidak terlepas untuk turut sama melihat perkara baru yang bakal dibawa Google untuk perancangan masa depan mereka.

[SUMBER]

 

TheSkop

Portal Teknologi dan Gaya Hidup Paling Best di Malaysia