Penyedia Internet pertama negara, Jaring terima arahan likuidasi mahkamah

Satu berita yang malang diterima hari ini. Penyedia internet pertama di Malaysia, Jaring Communications Sdn Bhd (Jaring) telah diperintahkan mahkamah untuk diletakkan di bawah pengawasan pelikuidasi. Likuidasi adalah proses di mana aset syarikat dikumpulkan dan digunakan untuk membayar hutang kepada pemiutang. Status ini boleh dikatakan sebagai sebuah syarikat telah bankrap.

Berita ini disampaikan oleh pengasas Jaring sendiri, Dr Mohamed Awang Lah di dalam status Facebook beliau. Walaubagaimanapun, beliau berasa sedih bercampur gembira kerana syarikat yang dimulakan oleh beliau, dilepaskan dari kawalan mereka yang tidak bertanggunjawab.

Jaring mula ditubuhkan dengan nama RangKom pada tahun 1986, sebelum diubah namanya kepada Jaring pada tahun 1992. Jaring merupakan anak syarikat kepada MIMOS dari tahun 2002 sehingga 2007, yang kemudiannya diambil alih oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) pada tahun 2007.

Dr Mohamed melepaskan jawatannya selaku CEO Jaring pada tahun 2011, dan digantikan oleh Nik Abdul Aziz Nik Yaacob sebagai CEO Jaring yang baru. Pada Ogos 2014, Utusan Printcorp telah membeli Jaring dengan nilai RM100 juta. Ini telah menimbulkan kemarahan pekerja Utusan Printcorp yang kemudiannya membuat protes kerana tiga bulan tidak menerima gaji. Dilaporkan, pekerja Jaring ketika itu juga tidak menerima gaji mereka.

TheMalaysianInsider melaporkan, jaring adalah salah satu dari 3 syarikat yang menerima pembayaran penuh kontrak jalurlebar di Sabah & Sarawak, yang terbengkalai sehingga kini. Perkara ini dibentangkan oleh Ketua Audit Negara dalam laporan audit negara 2014.

[Sumber]

TheSkop

Portal Teknologi dan Gaya Hidup Paling Best di Malaysia

%d bloggers like this: