F-Secure & JOS bekerjasama lindungi keselamatan SMB

F-Secure merupakan salah satu penyedia keselamatan digital dan dalam talian yang terkemuka di dunia. Laman AV-Test telah menobatkan F-Secure Client Security sebagai perlindungan terbaik untuk 4-tahun berturut-turut, termasuk tahun 2014. Kejayaan ini pastinya dapat meningkatkan lagi keyakinan pengguna untuk mendapatkan perlindungan menggunakan produk F-Secure.

f-secure best protection av-test 4 years

 

F-Secure adalah syarikat yang berasal dari Finland dan di Malaysia, ia telah bertapak sejak tahun 2006 dengan status syarikat MSC. Terkini, ia telah menjalinkan kerjasama dengan peneraju pengedar produk IT di Malaysia, iaitu Jardine OneSolution (JOS). Usahasama ini dijalinkan untuk mengembangkan lagi capaian produk F-Secure kepada syarikat kecil & sederhana (SMB).

Perjanjian ini dimeterai oleh Naib Presiden F-Secure APAC, Paul Palmer bersama Pengurus Besar JOS (Bahagian Pengedaran), Chuah Kee Heng. Upacara perjanjian ini diadakan di Menara F-Secure Malaysia, di Bangsar South. Menara F-Secure ini mempunyai makmal kajian, sokongan pelanggan dan juga operasi R&D yang dibuat di luar Ibu Pejabat F-Secure di Finland.

Chuah Kee Heng (kiri) dan Paul Palmer (kanan)Chuah Kee Heng (kiri) dan Paul Palmer (kanan)

Semasa pelancaran ini, Goh Su Gim selaku Penasihat Keselamatan, F-Secure APAC membentangkan beberapa penemuan berkaitan keselamatan oleh F-Secure, terutamanya tentang Malaysia sepanjang tahun 2014. Makmal F-Secure Malaysia memproses 250,000 sampel dan menerima 2.5 Bilion pertanyaan keselamatan setiap hari.

Goh Su Gim membentangkan laporan F-Secure di Malaysia 2014Goh Su Gim membentangkan laporan F-Secure tentang Malaysia 2014

Bagi tahun 2014, 5 jenis virus tertinggi dikesan F-Secure di Malaysia ialah Downadup, Likejack, Ramnit, Wormlink & Sality. Kebanyakan virus ini adalah virus yang menggunakan lompong dalam OS Windows untuk menyerang PC. Permasalahan keselamatan ini telah sedia dilindungi dengan kemaskini terbaru Windows. Tetapi jumlah serangan yang kekal tinggi ini menunjukkan PC di Malaysia masih banyak menggunakan Windows XP yang lama dan tidak dikemaskini. Contohnya Downadup atau lebih dikenali sebagai Conficker, pertama kali dikesan pada tahun 2008 dan kini tujuh tahun selepas itu, setiap 1 daripada 5 virus yang dikesan adalah Conficker, mengekalkan tempat pertamanya sebagai virus paling popular.

Top 5 pc malware in MY Top 5 pc reported malwares family in MY

Selain itu, virus seperti Likejack adalah sejenis virus yang tersebar mudah melalui laman sosial, dengan memaparkan gambar yang menarik perhatian tetapi meletakkan pautan menuju kepada virus tersebut. Malaysia memang terkenal dengan penggunaan laman sosial antara tertinggi di dunia. Sebarang berita yang tidak dipastikan benar, mudah sahaja menjadi viral di kalangan pengguna Malaysia. Ini menjadikan pengguna di Malaysia sasaran mudah virus ini.

contoh serangan di laman sosial

Manakala sasaran terbaru virus masakini adalah OS Android. Mungkin ramai menjangkakan aplikasi Android berbentuk virus banyak menyerang pengguna telefon masakini. Tetapi dari apa yang dikesan F-Secure sepanjang 2014 di Malaysia menunjukkan, 36% virus Android yang dikesan adalah berbentuk SMS Premium.

Top 5 pc android malwares family in MY 2014 premium sms still on top malware in MY 2014

SMS Premium beroperasi dengan menghantar SMS kepada pengguna dengan pautan. Kandungan SMS yang dihantar biasanya mengandungi ayat yang sangat menarik perhatian, sehingga pengguna terus membuka pautan tersebut. Tetapi pautan itu sebenarnya membuatkan pengguna mendaftar diri mereka kepada SMS Premium, yang mungkin dicaj sehingga RM4, yang akan menyaksikan bil talian pengguna melambung tinggi. Dengan kadar SMS Premium yang sangat lumayan ini beserta sikap pengguna Malaysia yang terlalu suka menekan pautan tanpa usul periksa, ia kekal menjadi motivasi no 1 bagi hacker terus menggunakan teknik ini di Malaysia. Lebih bahaya lagi, serangan SMS Premium ini tidak memerlukan telefon pintar, Nokia 3310 pun turut sama boleh terkena serangan.

Oleh itu, F-Secure menawarkan perlindungan menyeluruh kepada pengguna individu ataupun syarikat. Dengan fokus kepada SMB ini, F-Secure ingin mengekalkan tahap keselamatan tertinggi agar SMB dapat terus memacu perniagaan dan meningkatkan ekonomi di dalam dan luar negara.

F-Secure business suite premium

Selain daripada perlindungan kepada komputer desktop, laptop, server merangkumi OS Windows, MacOS serta Linux, F-Secure turut akan memperkenalkan perlindungan peranti mudahalih dan juga aplikasi Freedome untuk perniagaan. Freedome adalah satu bentuk perlindungan maklumat peribadi menggunakan VPN, yang dienkrip dari peranti sebelum ke internet. Ini memastikan pengguna terlindung terutama semasa menggunakan WiFi awam yang sangat terbuka kepada pencerobohan. Freedome memastikan data peribadi dari peranti mudahalih pengguna, sentiasa selamat dan tidak dapat dijejaki walau berhubung dengan apa jua rangkaian.

¬†Untuk maklumat lanjut tentang Freedome, baca laporan kami bertajuk ‘WiFi Awam Percuma Adalah MERBAHAYA‘.

TheSkop

Portal Teknologi dan Gaya Hidup Paling Best di Malaysia

%d bloggers like this: