Test Produk – Sony Xperia Z3 Compact

Sony memperkenalkan siri Xperia Z sebagai model telefon pintar terutama baginya. Kini, ia telah mencapai siri ketiga dibawah nama Xperia Z3. Sony juga antara pelopor telefon bersaiz kecil, dengan skrin kurang dari 5-inci tetapi mengekalkan prestasi terhebat seperti model utama lain. Bersama pelancaran Xperia Z3, Sony turut sama memperkenalkan Xperia Z3 Compact dengan skrin 4.6-inci, tetapi masih mengekalkan kuasa dalaman yang sama seperti Xperia Z3 dengan skrin lebih besar 5.2-inci. TheSkop telah diberi peluang untuk menguji kehebatan Xperia Z3 Compact ini.

 

REKABENTUK LUAR

Rupa bentuk Z3 Compact jika seimbas pandang tidak ubah seperti model sebelumnya, Z1 Compact. Tetapi jika diteliti, ia nyata diberi sentuhan lebih baik. Ia menggunakan gelas di depan dan juga di belakang. Z3 Compact juga sedikit berbeza dengan Z3, terutama pada kerangka tepinya. Pada kerangka tepinya, ia dibentuk bulat menggunakan getah yang Sony namakan ‘cecair pantulan besi’. Ini menjadikannya selesa di pegang di tepi, walaupun agak licin apabila dipegang pada depan dan belakang kerana diperbuat dari kaca.

Z3 Compact - depan Z3 Compact - belakang

Dipandang dari depan, boleh dilihat skrin IPS 4.6-inci dengan 2 pembesar suara di atas dan bawah skrin. Jika diletak secara mendatar, kelihatan ia agak simetri kerana kedudukan kedua-dua pembesar suara ni sama jaraknya dengan skrin. Tetapi kedudukan atas dan bawah memang jelas berbeza, kerana logo SONY terpampang di bawah pembesar suara atas. Malah kamera depan dan sensor serta LED notifikasi juga terletak di tepi pembesar suara di atas skrin. Tiada butang kelihatan di depan, kerana Sony menggunakan butang maya di atas skrin bagi menjimatkan ruang, dan menjadikan telefon ini lebih kecil.

Z3 Compact - belakang kamera

Di belakangnya, kelihatan kaca berkilau di seluruh badan. Logo Sony terpampang jelas di tengahnya, dengan logo NFC di atas, serta perkataan XPERIA di bawah. Paling utama, kamera belakang terletak di sudut atas kiri telefon. Di tepi lensa kamera ini, tertulis huruf ‘G’ besar beserta 1/2.3 yang menunjukkan saiz sensornya yang lebih besar dari telefon biasa, serta 20.7MP yang memberitahu resolusi tertinggi yang dimilikinya. Pastinya, LED Flash didatangkan sekali bersama.

Z3 Compact - atas Z3 Compact - bawah

Di bahagian atas telefon ini, terdapat port audio 3.5mm dan juga lubang kecil yang dipercayai untuk mikrofon. Manakala di bahagian bawah, hanya terdapat ruang untuk memasukkan lanyard. Walaupun kebanyakan telefon masakini sudah tidak mempunyai lubang lanyard ini, tetapi ia pasti memberi lebih pilihan kepada pengguna untuk menggantungkan atau menggayakan telefon mereka menerusi lubang lanyard ini.

Z3 Compact - kanan

Di sebelah kanan telefon ini, ia dipenuhi dengan semua butang yang diperlukan. Dari atas, terdapat butang kuasa yang berbentuk bulat. Ianya seakan menjadi trademark telefon Xperia menggunakan butang kuasa berbentuk bulat. Bentuk bulat juga menjadikan ia lebih mudah dirasa tanpa perlu dilihat, untuk membezakannya dengan butang suara. Butang suara naik dan turun, berbentuk panjang seperti biasa, terletak di tengahnya. Paling menarik sekali, ia mempunyai butang khas kamera di bahagian bawah. Butang khas kamera ini digunakan untuk mengaktifkan aplikasi kamera dan juga mengambil gambar. Satu butang yang sangat membantu bagi yang gemar mengambil gambar di mana jua dengan segera.

Z3 Compact - kiri Z3 Compact - kiri slot kad

Pada bahagian kiri telefon pula, tidak terdapat sebarang butang, tetapi kelihatan seperti dua plat besi menonjol di tengah.Ianya digunakan sebagai sambungan kepada dock atau pengecas luar yang dijual secara berasingan. Ini kerana port mikro-USB yang digunakan untuk mengecas, tersimpan di balik penutup getah di bahagian atas, kiri telefon. Apabila penutup atas ini yang berlabel micro-SD dibuka, kelihatan port mikro-USB dan juga slot untuk memasukan kad memori mikro-SD. Pada Z1 Compact, penutup mikro-USB dan mikro-SD dibuat berasingan, tetapi pada Z3 Compact, ia disekalikan kerana Sony menyatakan ia lebih tahan lama dengan rekaan begitu. Di bawahnya pula, terdapat penutup untuk slot kad-sim bersaiz nano. Ia menggunakan dulang yang boleh ditarik dengan kuku, jadi tiada pin atau jarum diperlukan untuk mengeluarkannya. Penutup yang menggunakan getah ini terasa lebih kemas dan kedap berbanding penutup pada Z1 Compact.

 

KUASA DALAMAN

Walaupun kecil, tetapi kecil-kecil cili padi. Sony mengekalkan prestasi yang ada pada Xperia Z3, ke dalam Z3 Compact ini. Jadi, Z3 Compact ini memang pilihan terbaik bagi yang mahukan prestasi tertinggi telefon pintar, dalam badan dengan skrin kurang dari 5-inci, saiz yang sering diabaikan pengeluar.

Spec Xperia Z3 Compact

Xperia Z3 Compact menggunakan cip keluaran Qualcomm iaitu Snapdragon 801 4-teras dengan kelajuan sehingga 2.5GHz yang didatangkan dengan cip grafik Adreno 330. Ia memiliki RAM sebesar 2 GB dan memori dalaman 16 GB, yang boleh ditambah menggunakan kad memori mikro-SD.

Z3 Compact UI - Settings About Z3 Compact UI - Settings 01 Z3 Compact UI - Settings 02 Z3 Compact UI - Settings LTE

4G-LTE disokong oleh telefon ini, bagi pengalaman melayari internet terpantas. Ia juga mempunyai sambungan WiFi, serta Bluetooth v4.0 yang menyokong penggunaan tenaga rendah yang jimat bateri. Di samping itu, NFC juga terdapat padanya untuk hubungan pantas dengan peranti lain melalui satu sentuhan sahaja.

Untuk pencarian lokasi, ia dilengkapi GPS dan A-GPS serta GLONASS. Bagi berkongsi media hiburan terutama sekali dengan TV, ia boleh disambung menggunakan DLNA. Sambungan berwayar pula, ia boleh menggunakan port audio 3.5mm yang dilengkapi ‘Digital Noise Cancelling’ dan juga port USB 2.0. Tidak dapat dipastikan mengapa Sony tidak melengkapi USB3.0 pada Xperia Z3 ini.

Skrin 4.6-inci pada Z3 Compact menggunakan paparan IPS, yang masih boleh dilihat sehingga 178 darjah di tepi. Tenologi TRILUMINOS terbukti menjadikan paparan lebih cerah dan terang. Di bawah pancaran cahaya matahari, Z3 Compact kelihatan lebih terang berbanding telefon lain, walaupun masih agak silau sebenarnya.

Dua pembesar suara stereo yang terletak di hadapan, ternyata memberi bunyi yang kuat dan jelas. Tetapi kami berasa sedikit kecewa, kerana bunyinya seperti tidak cukup kuat sebagai pembesar suara depan, jika dibandingkan sendiri dengan telefon seperti HTC Desire 610 ataupun Moto E sekalipun.

 

SISTEM OPERASI & ANTARAMUKA

Sony melengkapkan Z3 Compact dengan OS Android 4.4.4 KitKat yang terkini, yang mana Android 5.0 Lollipop masih belum dilepaskan secara rasmi. Seperti pengeluar lain, Sony turut membuat ubahsuai antaramuka (UI) pada Z3 Compact. Secara kasar, kelihatan UInya berbeza dari Android tulen. Tetapi selepas menggunakannya, dapat dirasakan Sony tidak membuat perubahan drastik pada UI ini, menjadikannya antara UI paling tidak membebankan atau menjadikannya perlahan.

 Z3 Compact UI - Lock Screen Z3 Compact UI - Home 01 Z3 Compact UI - Home 02 Z3 Compact UI - Home 03 Z3 Compact UI - Home Edit Z3 Compact UI - Home Wallpapers Z3 Compact UI - Home Widget Z3 Compact UI - Themes Z3 Compact UI - Dialler Z3 Compact UI - Keyboard

Lock Screen Z3 Compact kelihatan mudah. Hanya ada jam dan tarikh, serta butang pantas ke kamera sahaja. Tiada yang lain. Apabila di’unlock’, boleh dilihat antaramukanya dipenuhi pelbagai widget. Sony meletakkan Google Search bar, tetap di atas skrin. Pada satu muka, ia dipenuhi dengan aplikasi yang dicadang Sony dan ikon aplikasi Walkman, Album, Movies dan Playstation. Pada muka sebelahnya, terdapat widget Walkman, widget album dan widget kamera.

 Z3 Compact UI - Apps Drawer 01 Z3 Compact UI - Apps Drawer 04 Z3 Compact UI - Apps Drawer 02 Z3 Compact UI - Apps Drawer 03 Z3 Compact UI - Apps Track ID Z3 Compact UI - Apps AVG Z3 Compact UI - Apps Navigon

Untuk drawer aplikasi, ia boleh disusun mengikut kegemaran pengguna, samada susunan sendiri, mengikut abjad atau kekerapan penggunaan. Beberapa aplikasi khas Sony dimuatkan siap ke dalam Xperia Z3 Compact ini seperti Track ID untuk mengesan lagu seperti Shazaam, OfficeSuite untuk aplikasi pejabat, AVG Antivirus Pro dan Aplikasi GPS Navigon yang sayangnya, tidak dapat digunakan di Malaysia.

Z3 Compact UI - Notifications Z3 Compact UI - Notifications Quick Settings

Paparan notifikasi boleh diakses dengan menyapu dari atas skrin ke bawah. Terdapat dua ruangan iaitu Notifications untuk notifikasi terkini dan mesej dari aplikasi, serta Quick settings untuk butang pantas kepada tetapan seperti mengaktifkan Wifi, Bluetooth, NFC, GPS, WiFi Hotspot, Brightness, Auto Rotate dan bermacam lagi yang boleh disusun mengikut kegemaran sendiri.

Z3 Compact UI - Recent Apps Z3 Compact UI - Small Apps

Antaramuka Sony ini dilengkapi dengan Small apps, yang boleh diapungkan di atas skrin. Ia boleh diakses melalui recent apps, dan disenaraikan di bawah. Small apps ini boleh disenaraikan mengikut kegemaran pengguna. Beberapa pilihan small apps ini adalah seperti browser, calculator, calendar, gmail dan bermacam lagi.

Z3 Compact UI - Record Screen 01 Z3 Compact UI - Record Screen 02 Z3 Compact UI - Record Screen 03 Z3 Compact UI - Record Screen 04

Satu fungsi khas yang hanya terdapat pada siri Xperia Z3 ialah screen recorder. Ia boleh merakam video segala apa yang anda lihat berlaku di atas skrin, dengan kualiti HD Penuh. Ini sangat membantu seperti mahu menunjukkan cara penggunaan sesuatu aplikasi dalam telefon.

 

KAMERA

Seperti biasa, kamera pada peranti utama Sony ini dilengkapi perkakas terbaik yang ada di pasaran kini. Dengan resolusi 20.7MP dan dikuasakan sensor Exmor RS sebesar 1/2.3″ serta ISO setingi 12800, tiada gambar yang tak mampu diambil menggunakan Xperia Z3 Compact ini.

Ia mempunyai keupayaan zum digital 8x, dan ternyata gambar tidak terlalu pecah dan kabur menggunakan zum maksima. Malah, gambar pada waktu malam dan kurang cahaya, boleh diambil menjadi terang dengan sensor sebesar 1/2.3″ yang dimilikinya serta ISO yang tinggi.

Z3 Compact Camera - Auto Z3 Compact Camera - Manual Flash

Apabila aplikasi kamera dilancarkan, biasanya ia akan bermula dengan mod ‘Superior Auto’. Pada mod ini, tiada perubahan tetapan boleh dilakukan melainkan pemilihan LED Flash. Resolusi gambar juga tetap pada maksima 20.7MP.

Z3 Compact Camera - Manual setting Z3 Compact Camera - Manual resolution Z3 Compact Camera - Manual Scene Z3 Compact Camera - Manual WB

Untuk mendapatkan lebih tetapan kamera, ia harus diubah ke mod Manual. Dengan ini, pengguna boleh memilih tetapan scene, flash, resolusi gambar, HDR, ISO, Metering, Image stabilizer, White Balance dan bermacam lagi. Ini dapat membantu pengguna memilih tetapan yang sesuai untuk mengambil gambar dengan lebih menarik.

Z3 Compact Camera - Manual video setting Z3 Compact Camera - Manual video resolution

Bagi merakam video juga, mod manual diperlukan untuk memilih lebih tetapan. Xperia Z3 Compact mampu merakam video Ultra HD 4K, ataupun Full HD 1080p pada 60 fps. Ia juga dilengkapi fungsi SteadyShot dan Intelligent Active, untuk mengurangkan gegaran pada video.

Rakaman Video menggunakan Xperia Z3 Compact

Rakaman Video menggunakan Honor 6

Kreativiti pengguna boleh digunakan semaksima mungkin, kerana Sony menyediakan aplikasi tambahan yang boleh juga dimuat turun kemudian. Aplikasi seperti Sound Photo membolehkan gambar ditangkap bersama suara. Manakala AR Fun menambah objek maya ke dalam gambar & video. Face in pula menggunakan kamera depan dan belakang sekaligus untuk yang memerlukannya. Live on youtube mampu membuat streaming terus ke Youtube, dari telefon Xperai Z3 Compact ini.

Z3 Compact Camera - Apps download Z3 Compact Camera - Apps setting Z3 Compact Camera - AR Fun

Butang khas kamera yang terletak di sisi telefon, terletak di posisi seperti kamera biasa, menjadikan pengalaman menangkap gambar sama seperti menggunakan kamera. Fungsinya juga sama, tekan separuh untuk folus dan tekan habis untuk mengambil gambar. Malah, ia boleh digunakan sebagai butang pantas melancarkan aplikasi kamera semasa skrin padam. Walaupun tidak sepantas Honor 6 Ultra snapshot, tetapi masih jauh lebih pantas dari telefon lain, untuk mengambil gambar dengan segera. Butang ini juga digunakan untuk mengambil gambar di dalam air, apabila skrin tidak lagi boleh digunakan.

Kamera Sony Xperia Z3 Compact 001 Kamera Sony Xperia Z3 Compact 002 Kamera Sony Xperia Z3 Compact 003 Kamera Sony Xperia Z3 Compact 004 Kamera Sony Xperia Z3 Compact 005 Kamera Sony Xperia Z3 Compact 006 Kamera Sony Xperia Z3 Compact 007 Kamera Sony Xperia Z3 Compact 008

Gambar yang diambil menggunakan kamera Xperia Z3 Compact

 

PRESTASI

Telefon Sony Xperia Z3 ini sememangnya berprestasi tinggi. Sepanjang penggunaannya, tidak ada sebarang lag dirasakan. Semua aplikasi juga berjalan pantas. Bagi mengesahkannya, benchmark pun dijalankan ke atasnya. Ternyata, Snapdragon 801 dan Adreno 330 memang sangat berkuasa.

Z3 Compact benchmark - Antutu 1 Z3 Compact benchmark - Antutu 2 Z3 Compact benchmark - CPU Prime Z3 Compact benchmark - Quadrant Z3 Compact benchmark - 3DMark

Benchmark pada Antutu memberikan markah sebanyak 43,898 mata. Manakala ujian pada CPU Prime pula mencatat 7,440 mata. Benchmark ke atas Quadrant menyaksikan markah sebanyak 19,383. Akhir sekali, 3 ujian menerusi 3DMark memberikan Xperia Z3 Compact 15,399 untuk ujian Ice Storm Unlimited, 10,234 mata untuk Ice Storm Extreme dan Maxed Out pada ujian Ice Storm.

 

BATERI

Satu aspek utama yang menjadi kelebihan siri Z ialah bateri yang bertahan lama. Tidak dapat dinafikan, inilah telefon yang paling lama dapat kami gunakan dengan sekali pengecasan dalam semua ujian telefon yang pernah kami lakukan. Tanpa sebarang perubahan dalam tetapan penggunaan kuasa, ia dengan mudah dapat bertahan hampir 22 jam dengan skrin terpasang selama 4 jam lebih. Ini dicapai dengan penggunaan 5 emel, facebook, twitter, instagram dan sedikit GPS Waze, yang dikira penggunaan tinggi. Tidak pernah kami mendapat penggunaan lama sebegini sebelum ni.

Z3 Compact Bateri - life 001 Z3 Compact Bateri - life 002 Z3 Compact Bateri - life 003 SOT

Jangka hayat bateri, tanpa Stamina Mode

Z3 Compact Bateri - Life Stamina Mode 002 Z3 Compact Bateri - Life Stamina Mode 001 Z3 Compact Bateri - Life Stamina Mode 003 SOT

Jangka hayat bateri, dengan Stamina Mode

Z3 Compact Bateri - Power Management Z3 Compact Bateri - Stamina Mode ON Z3 Compact Bateri - Stamina Mode

Bagi ketahanan lebih lama, Sony mempunyai fungsi yang dinamakan Stamine Mode. ia mempunyai kepintaran untuk memadamkan beberapa aplikasi yang tidak berapa digunakan, tetapi anda masih boleh menerima panggilan, mesej & notifikasi dari aplikasi permesejan.

Z3 Compact Bateri - Ultra Stamina Mode 01 Z3 Compact Bateri - Ultra Stamina Mode 02 Z3 Compact Bateri - Ultra Stamina Mode 03 Z3 Compact Bateri - Ultra Stamina Mode 04

Mahukan ketahanan lebih lama? Aktifkan Ultra Stamina Mode. Ia akan mematikan hampir semua fungsi telefon dan membenarkan hanya beberapa aplikasi beroperasi, dengan had. Dijangkakan telefon boleh bertahan lebih dari seminggu dengan mod ini. Mod seperti ini sudah menjadi kebiasaan pada telefon pintar baru, dan akan dijadikan standard oleh Google di dalam Android 5.0 Lollipop.

Z3 Compact Bateri - Low Battery Mode 01 Z3 Compact Bateri - Low Battery Mode 02

Ataupun jika penguna masih mahukan sambungan data internet, tetapi perlukan lebih jangka hayat berbanding biasa, terdapat juga mod Low Battery. Mod Low Battery ini boleh ditetapkan untuk hidup apabila bateri mencapai satu tahap, contohnya 20%. Ia boleh digunakan untuk memadam Mobile data, Bluetooth, WiFi, Auto-Sync ataupun kesemuanya.

 

KELEBIHAN LAIN

Satu fungsi yang menjadi kegemaran kami pada Z3 Compact ini ialah, dua ketuk pada skrin untuk mengaktifkan skrin. Ia sememangnya sangat membantu terutama pada situasi jari anda sukar untuk mencapai butang kuasa, seperti tangan yang penuh makanan.

Z3 Compact UI - Settings Tap To Wake Up Z3 Compact - Remote Play Z3 Compact - Remote Play connect to PS4

Siri Xperia Z3 juga adalah peranti pertama yang dilengkapi PS4 remote Play. Ia boleh dijadikan skrin pendua ataupu skrin utama apabila dihubungkan dengan konsol Playstation 4. Dengan aksesori tambahan, telefon ini boleh diletakkan di atas alat kawalan DUALSHOCK4, jadi pengguna boleh bermain PS4 sambil berjalan-jalan di sekeliling rumah.

Paling utama, telefon siri Z adalah kalis air dan debu dengan rating IP68, rating tertinggi yang ada pada telefon pintar kini. Ini membolehkannya berada di dalam air jernih seperti kolam renang selama 30 minit pada kedalaman 1.5 meter. Ini pasti membawa kreativiti mengambil gambar dan video ke tahap lebih tinggi lagi. Malah, tidak perlu takut lagi jika anda dicampak oleh rakan ke dalam kolam ketika jamuan hari jadi. Tetapi, pastikan semua penutup USB dan slot kad memori ditutup sepenuhnya.

 

KESIMPULAN

Sony berjaya menghasilkan peranti terbaik dalam pasaran kini. Fokus yang diletakkan dalam penghasilan peranti ini, sangat tepat dan memenuhi keperluan. Pengguna kini memang sangat mementingkan penggunaan kamera dan jangka hayat bateri yang panjang. Manakala ciri tambahan seperti kalis air dan debu pula adalah pilihan terbaik, berbanding fungsi yang tidak berapa diperlukan pengguna seperti pengimbas cap jari atau pengesan degupan jantung.

Kami sangat berpuas hati dengan Sony Xperia Z3 Compact dan tidak dapat dinafikan, ia adalah peranti di bawah 5-inci terbaik yang ada dalam pasaran sekarang dengan tiada pencabar terdekat yang mampu memberikan saingan.

Sukar untuk mencari kekurangan telefon ini, cuma pasti ada yang mengharapkan spesifikasi lebih tinggi seperti skrin HD penuh 1080 ataupun ram 3GB. Selain itu, pembesar suara hadapan Z3 Compact tidak berapa lantang jika dibandingkan dengan telefon jenama lain dengan pembesar suara hadapan.

Telefon pintar Sony Xperia Z3 Compact ini boleh didapati dengan harga runcit RM1899 dengan 4 pilihan warna iaitu putih, hitam, oren dan hijau. Sony juga telah mengumumkan, Z3 Compact termasuk dalam senarai pasti dapat kemaskini Android 5.0 Lollipop, pada awal tahun 2015. Ini pasti dapat membantu bakal pembeli membuat pilihan.