Kenanga lancar The HumandKIND Project

Sze Phing (kiri) dan Stevens menunjukkan kempen HumanKIND

Kenanga melancarkan ‘Meals That Give’, sebuah kempen di bawah program kemasyarakatannya, The HumanKIND Project yang dirancang untuk meneruskan sokongan kepada sebuah kafe Orang Kelainan Upaya (OKU), Café Includes menerusi platform kutipan dana dalam talian, Sedunia.

Bagi menggandakan impak setiap ikrar sumbangan, makanan disumbangkan bukan sahaja akan digunakan bagi menjamin pekerjaan ahli-ahli Café Includes yang kelainan upaya, tetapi juga menyokong komuniti yang memerlukan, menerusi pengagihan bungkusan makanan kepada kanak-kanak di rumah anak yatim serta komuniti gelandangan.

Rakyat Malaysia kini dapat mengikrar sumbangan makanan dari Café Includes bermula pada harga serendah RM20 di www.sedunia.me/campaigns/kenangahumankind/. Bagi menggalakkan penyertaan, Kenanga akan menyemarakkan lagi ikrar sumbangan dengan memadankannya 1 dengan 1.

The HumanKIND Project adalah inisiatif yang kami mulakan tahun lepas sebagai tindak balas kepada keperluan sosial dan komuniti yang kian meningkat. Kami berbesar hati untuk melanjutkan program ini di bawah kempen, ‘Meals That Give’ pada tahun ini. Selain menyumbang balik kepada masyarakat, kami juga berazam mewujudkan satu ekosistem bagi menggalakkan orang ramai untuk turut serta dalam usaha ini. Lebih-lebih lagi pada masa ini ketika negara beralih ke fasa endemik, adalah lebih penting untuk kita terus saling sokong menyokong dalam apa sahaja cara yang kita mampu.

Di bawah ‘Meals That Give’, kami akan menyediakan makanan untuk mereka yang kurang bernasib baik, di samping membangkitkan kesedaran serta menyokong komuniti kelainan upaya di Café Includes. Kami berharap semoga melalui inisiatif ini, kami dapat menjadikannya lebih mudah dan berpatutan untuk semua rakyat Malaysia memainkan peranan mereka demi kebaikan sosial,” kata Chuah Sze Phing, Ketua Pemasaran Kumpulan, Komunikasi dan Kelestarian Kenanga.

Sukarelawan kakitangan Kenanga akan menyelaras dan mengagihkan sumbangan makanan dari Café Includes kepada penerima-penerima dari Persatuan Kebajikan An-Najjah Malaysia, Rumah Ozanam PJ dan Pertiwi Soup Kitchen.

Stevens Chan, aktivis sosial dan pengasas Café Includes yang cacat penglihatan berkata, “Dua tahun kebelakangan ini amat mencabar bagi kami. Disebabkan pandemik, kami terpaksa menutup pameran Dialogue In The Dark yang merupakan sumber pendapatan utama kami. Susulan itu, kami mengalihkan tumpuan kepada penubuhan Café Includes, yang terus menyediakan peluang pekerjaan kepada ahli-ahli kami yang kelainan upaya serta komuniti B40. Kami amat menghargai semua sokongan daripada orang ramai serta korporat seperti Kenanga Investment Bank yang sentiasa menyokong kami sejak lebih 10 tahun lalu, yang telah membantu kami mengharungi tempoh paling mencabar.”

Pada tahun lepas, menerusi pelancaran The HumanKIND Project, Kenanga telah membantu mengumpul lebih 5,000 tempahan untuk Café Includes, yang telah membantu menjamin kelangsungan perniagaannya sepanjang pandemik serta mengekalkan mata pencarian 15 orang kelainan upaya yang mengendalikan kafe tersebut.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Bitnami