Beli produk ASUS lebih mudah di ASUS Store

ASUS Malaysia bakal melancarkan kedai dalam talian mereka, yang dipanggil ASUS Store di alamat http://store.asus.com/my/. ASUS Store ini bakal menjadi tempat setempat bagi pengguna di Malaysia, membeli produk ASUS seperti telefon pintar dan tablet, dalam talian. Ini bakal memudahkan pengguna untuk mendapatkan produk yang mungkin kehabisan stok di kedai berhampiran mereka, ataupun mereka yang jauh dari kedai yang menjual produk ASUS.

Dengan membeli di ASUS Store ini, pengguna boleh membuat bayaran menggunakan kad kredit atau debit, Visa atau Mastercard, atau lebih bagus lagi boleh membuat bayaran tunai apabila barangan dihantar. Ini pasti menggembirakan pembeli yang tidak mempunyai kemudahan kad kredit atau debit, kerana kebiasaannya pembelian dalam talian hanya membenarkan bayaran menggunakan kad kredit atau debit sahaja. Tetapi, pembelian tunai ini hanya boleh dilakukan di beberapa tempat sahaja, iaitu di bandar-bandar utama di Malaysia.

Penghantaran produk yang dibeli melalui ASUS Store ini juga nampaknya agak pantas. Penghantaran di Malaysia Barat dijangka mengambil masa 1 ke 2 hari bekerja manakala ke Malaysia Timur (Sabah, Sarawak & Labuan) pula mengambil masa 1 ke 3 hari bekerja sahaja.

Buat masa ini kelihatan hanya telefon pintar siri Zen iaitu Zenfone 4, Zenfone 5 dan Zenfone 6 sahaja disenaraikan di ASUS Store. Pelbagai pilihan warna disediakan untuk dipilih pembeli. Produk ASUS yang lain bakal mengisi senarai jualan di ASUS Store.

Kedai dalam talian ASUS Store ini dijangka akan dilancarkan pada awal Disember 2014. Nantikan pelancaran rasminya yang pasti akan disusuli promosi dan tawaran hebat sempena pembukaannya.

Zenfone 4 Zenfone 5 Zenfone 6

%d bloggers like this: