Rakam gambar dan video lebih mudah dengan HTC RE

HTC kini mula mengorak langkah lebih jauh dalam dunia pengimejan apabila menghasilkan RE yang diumumkan hari ini. RE ialah kamera aksi yang kecil dan mudah dibawa, berbentuk silinder seperti paip.

RE direka dalam bentuk silinder agar ia mudah dipegang dan selesa di dalam genggaman. Dengan sensor genggaman yang terbina, ia boleh mengesan apabila tangan menggenggam RE dan mengaktifkan kamera serta merta agar bersedia untuk mengambil gambar. Tiada butang kuasa diperlukan. Manakala butang mengambil gambar yang besar dan terletak di tempat yang mudah ditekan. Satu klik untuk mengambil gambar dan tekan lebih lama untuk merakam video.

Kamera RE mengambil gambar beresolusi tinggi 16MP menggunakan sensor CMOS, serta video HD penuh 1080p dengan 30fps. Lensanya dengan apertur f2.8 berupaya melihat sehingga 146-darjah lebar untuk menangkap gambar lebih luas.

Sebagai kamera aksi, RE disahkan kalis air dan debu dengan rating IPx7 bagi kedalaman 1 meter selama 30 minit. Dengan tambahan aksesori, ia boleh mencapai IPx8 iaitu kedalaman 1.5 meter selama 30 minit.

RE Quicklook

Bagi memudahkan pengguna menterjemahkan idea kreatif mereka, HTC menyediakan aplikasi khas RE, yang boleh memindah foto ke telefon, serta mencipta rakaman video gerak perlahan (slow-motion) atau “time-lapse” dengan mudah. Semuanya boleh dilakukan pada telefon Android atau iOS, tanpa memerlukan PC. Atau gunakan telefon sebagai kawalan jarak jauh untuk menangkap gambar dengan RE. Ia juga berinteraksi mesra dengan aplikasi HTC Zoe untuk mencipta video highlight yang kelihatan profesional.

HTC akan menyediakan API/SDK untuk pembangun yang mahu membawa kebolehan RE ke tahap maksimum. RE juga akan menyediakan perkhidmatan video streaming ke Youtube secara langsung, untuk mereka yang gemar merakam video dan berkongsi terus kepada dunia.

RE akan mula dijual di Amerika Syarikat pad ahujung bulan Oktober, dan memasuki pasaran negara lain selepas itu. Untuk meklumat lanjut berkaitan tarikh jualan, fungsi, spesifikasi dan aksesori RE, layari www.recamera.com

RE Logo

TheSkop

Portal Teknologi dan Gaya Hidup Paling Best di Malaysia

%d bloggers like this: