Elop Tewas Di Tangan Satya

Satya Nadella

Microsoft akhirnya mengumumkan pelantikan ketua pegawai eksekutif barunya, Satya Nadella bagi menggantikan Steve Ballmer yang bakal melepaskan jawatannya tidak lama lagi.

Teka-teki selama beberapa bulan ini akhirnya diumumkan Microsoft dalam laman webnya. Satya yang berasal dari Hyderabad, India menjadi CEO ketiga Microsoft dan mula menyertai syarikat gergasi perisian tersebut pada 1992.

Individu yang meminati sukan kriket tersebut sebelum ini memegang jawatan naib presiden eksekutif kumpulan Cloud Microsoft.

Pengasas syarikat, Bill Gates menyatakan pelantikan tersebut dilakukan selepas Satya berjaya membuktikan kemampuan sebagai ketua dengan skil kejuruteraan yang kukuh, mempunyai visi perniagaan yang jelas dan kemampuan menyepadukan kerjasama.

Satya juga bertanggungjawab menyokong produk-produk Microsoft seperti Bing, Xbox dan Office.

Selain Gates, bekas CEO, Ballmer turut menyatakan sokongan terhadap Satya yang dikenalinya sejak 20 tahun lepas.

Ballmer adalah rakan sekelas dan kawan baik Gates ketika menuntut di Universiti Harvard pada 1970-an. Beliau mengambil alih jawatan itu daripada Gates pada 2000, namun pada 23 Ogos 2013 beliau mengumumkan akan meletakkan jawatan hanya setelah penggantinya dikenalpasti.

Desas-desus sebelum ini menyatakan kerusi panas tersebut bakal direbut dengan beberapa nama besar seperti John Thompson, iaitu bekas ketua eksekutif Symantec dan Stephen Elop, iaitu bekas CEO Nokia juga disebut-sebut calon paling dekat.

Ia pastinya tamparan hebat buat Elop yang disebut calon 60 peratus bakal menduduki kerusi CEO Microsoft tahun ini setelah penyatuan Nokia Microsoft yang berjaya dilakukan.

Disedut dari – Yahoo! News