Citer Seram: Misteri Lampu Isyarat

Citer Seram

Orang selalu ingat kalau tengah memandu malam-malam lepas itu tiba di jalan yang sunyi dan tiba-tiba ada pula ‘zebra crossing’ yang ada lampu isyarat, biasanya kalau tiada orang nak melintas, mesti anda semua redah saja isyarat merah yang menyala…kan?

Maklumlah, tiada orang kiri kanan, jalan pula sunyi. Takkan pula lurus bendul ikut peraturan sangat tengah-tengah malam buta. Jalan sajalah!

Kalau nak buat macam tu, boleh saja tapi ingatlah sikit. Berhentilah sekejap, kalau boleh sebelum garisan zebra crossing itu. Tak payah lama, bunyikan hon sikit untuk bagi amaran dekat ‘benda-benda’ yang nak melintas.

Bunyinya macam gila tapi itulah yang terjadi pada saya tahun lepas. Tugas sebagai jurutera sistem server ini bukan saja mencabar dari segi menyelesaikan masalah komputer yang komplikated tapi ianya juga menuntut saya untuk balik lambat pada waktu-waktu tertentu. Seperti orang lain, kami juga ada shif.

Kebetulan pada satu malam, saya yang bekerja di salah sebuah syarikat IT di Bukit Damansara pulang agak lewat. Syif habis pukul 12malam tapi saya ambil keputusan mengambil kawan saya yang tinggal berdekatan dan berjumpa kawan selepas kerja jadi kami lepak bersama di mamak yang terletak berhampiran.

Saya pendekkan cerita. Setelah menghantar beliau pulang (saya rasa sudah lepas pukul 2.30 pagi), saya turun menaiki kereta dari jalan di Bukit Damansara dengan niat mahu ke jalan besar dan pulang ke rumah di Subang. Sebelum menghampiri satu simpang ke jalan besar, terdapat satu zebra crossing yang digunakan pejalan kaki dari sebuah tempat letak kereta ke bangunan pejabat dan kedai-kedai yang berhampiran.

Kalau waktu siang, memang agak sibuk zebra crossing ini kerana sentiasa ada orang akan melintas. Tambahan pula, terdapat kolej tempatan di mana ada pelajarnya menunggu bas di seberang jalan.

Tapi pada waktu malam, selepas pukul 10 malam saja sudah sunyi, apatah lagi pukul 2 lebih pagi. Dari jauh, saya telah nampak isyarat kuning berkelip-kelip menyala. Saya tengok kiri dan kanan jalan tersebut, tak nampak pun orang. Terdetik di hati, “dah pukul 2 lebih, jalan sajalah nanti kalau merah, bukan ada orang pun.” Bila lampu isyarat bertukar merah, saya pun langgar saja. Tak tekan brek pun.

Tapi bila melintas atas garisan putih hitam itu tiba-tiba ada sedikit bunyi ‘tap’ depan kereta. Macam saya dah langgar sesuatu. Masih memandu dalam lebih kurang 90kmj, saya tak hairan sangat bunyi tap kerana bagi saya ia bukanlah kuat sangat.

Namun, saya pandang juga cermin belakang. Dari situ jantung saya berdegup kencang. Dari pantulan  cermin itu saya nampak kain putih atas jalan. Betul-betul atas zebra crossing.

Saya mula rasa tak sedap hati. Refleksnya, saya berhentikan kereta. Tak jauh. Lebih kurang 50 sudah ke depan. Pada masa itu saya tak tahu apa nak buat. Saya betul-betul yakin saya tak langgar orang atau binatang. Itulah yang saya percaya 100%.

Perlahan-lahan, saya undurkan kereta supaya lebih dekat dengan zebra crossing. Pada masa itu saya masih 50-50 sama ada saya benar-benar dah langgar orang atau tidak. Keputusan undurkan kereta dan jenguk zebra crossing itu akhirnya saya putuskan demi sifat ambil berat. Sebaik saya tiba berhampiran zebra crossing tersebut, saya ‘on’kan lampu kecemasan dan buka pintu.

Saya keluar dan pusingkan badan ke belakang menghadap zebra crossing tadi. Alangkah terkejutnya saya sebab tiada lagi kain putih di atas seperti yang saya nampak di cermin. Saya pandang kiri kanan takut-takut ia terbang dek angin… Tidak pula!

Badan mula rasa lain macam. Seram sejuk. Bulu roma saya dah naik. Saya betul-betul tak sedap hati. Saya tengok lampu isyarat menunjukkan isyarat kuning yang kelip-kelip tanpa henti. Saya terpandang tiang lampu isyarat dekat dengan kereta kemudian saya panik… “Ya Allah!” Ada kain putih tergantung atas lampu isyarat.

Tak tahu apa nak dilakukan sekarang, saya kaku. Cuba bergerak tetapi kaki macam kebas. Nasib baik saya bukan berada di tengah jalan. Kalau tak, lagi cuak dibuatnya.

Ketika itulah kain tersebut seakan terangkat dan seolah-olah terbang ke arah saya. Saya menjerit sekuat hati! Itulah perkara terakhir yang saya ingat.

Saya terbangun, terbaring di tepi jalan. Yang saya nampak beberapa orang memakai helmet. Kepala pening. Seorang lelaki menegur, “encik ok tak? Kenapa ni? Sakit ke?”

Saya agak bingung masa itu. Terkeluar dari mulut saya, “sekarang pukul berapa?” Soal saya. Lelaki dalam lingkungan 40an itu menjawab, “nak dekat pukul 4,” katanya. Selepas itu, datang pula 3 motosikal lain. Anggota polis rupanya. Mereka menghampiri, “kenapa ini? Mabuk?” Tanya seorang dari mereka. “Tak bau apa pun,” jawab lelaki yang berada di sisi saya tadi.

Saya hanya bangun dan terangkan pada polis tersebut, saya sakit kepala dan tak sedar bila saya tumbang. Ingin saya ceritakan apa yang berlaku tetapi saya pasti mereka takkan percaya. Silap-silap kena tidur lokap. Saya yakinkan mereka saya ok walaupun berkali-kali mereka mahu memanggil ambulans.

Lepas kejadian, saya tahu saya demam 3 hari. Segala persoalan tentang kain putih, lampu isyarat dan bunyi tap tak terjawab. Agak gila apabila ‘benda’ itupun perlukan lampu isyarat kalau nak melintas. Bunyi memang tak masuk akal tapi siapa tahu?

– kisah asal Isyraf Haik

TheSkop

Portal Teknologi dan Gaya Hidup Paling Best di Malaysia

%d bloggers like this: