Formis Guna Teknologi Jalur Lebar TM

TM

Telekom Malaysia Berhad (TM) hari ini mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai penyedia perkhidmatan yang neutral apabila Syarikat menandatangani satu lagi perjanjian perkhidmatan Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB) dengan Formis Development Sdn. Bhd (Formis), ahli Formis Resources Berhad.

Di bawah perjanjian ini, TM akan menyediakan perkhidmatan-perkhidmatan HSBB (Akses) dan HSBB (Transmisi) serta Akses Internet Pukal (Wholesale Internet Access) kepada Formis. Kerjasama ini akan membolehkan Formis meluaskan penawaran perkhidmatan berasaskan gentian – Ohana – di Malaysia kepada lebih 1.456 juta premis yang diliputi dengan perkhidmatan HSBB termasuklah segmen Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), sekaligus memenuhi permintaan terhadap perkhidmatan Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi di pasaran yang kian meningkat.

Kerjasama ini dijangka membawa pelbagai manfaat bukan sahaja kepada pengguna akhir tetapi juga PKS yang akan menikmati perkhidmatan yang dijamin kualitinya, liputan yang meluas, pelbagai ciri perkhidmatan dan harga yang kompetitif. Akhirnya, ini akan membawa gaya hidup digital yang diperkaya kepada pengguna, sekaligus meningkatkan daya saing global negara ke tahap yang lebih tinggi dalam menyokong aspirasi Kerajaan untuk meningkatkan kadar penembusan jalur lebar negara kepada 75% menjelang tahun 2015.

Hadir untuk menandatangani perjanjian bagi pihak TM adalah Rozaimy Rahman, Naib Presiden Eksekutif, Global & Wholesale, manakala Formis Development Sdn. Bhd diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Steven Pun. Majlis menandatangani perjanjian tersebut telah disaksikan oleh Rossman Omar, Naib Presiden, Carrier Sales, G&W, TM dan Monteiro Gerard Clair, Pengarah Eksekutif, Formis Resources Bhd.

Berucap di majlis tersebut, Rozaimy menyatakan; “Perjanjian yang termeterai hari ini merupakan hasil daripada inisiatif yang diambil oleh TM dan Formis, menandakan satu lagi pencapaian penting dalam pelaksanaan projek HSSB negara yang telah dilancarkan secara rasmi pada tahun 2010. Formis telah memberi kepercayaan kepada TM bagi menyediakan platform untuk pelanggannya, termasuk dari segmen PKS dan kediaman bagi menikmati perkhidmatan nilai tambah berasaskan IP di kawasan HSBB di seluruh negara. Di samping itu, TM juga akan menyediakan kapasiti minimum 1Gbps bagi perkhidmatan Akses Internet Pukal (WIA) bagi penyampaian penawaran Formis iaitu Ohana, yang boleh dinaiktaraf berdasarkan keperluan dan permintaan pelanggan, sekaligus membolehkan mereka menikmati pengalaman melayari Internet yang lebih baik. Usahasama selama tiga (3) tahun ini mengukuhkan janji TM dalam memberi akses terbuka kepada semua pencari akses yang memiliki lesen dengan SKMM tanpa mengira saiz syarikat, seperti yang dinyatakan di dalam Usahasama Awam-Swasta (PPP).”

Mengulas mengenai majlis tersebut, Steven Pun berkata, “PKS mewakili lebih 95 peratus daripada syarikat-syarikat di Malaysia dan menyumbang lebih 30 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Walau bagaimanapun, disebabkan batasan dalam kuasa pembelian dan akses kepada infrastruktur yang sesuai, kebanyakan PKS tidak mampu untuk mendapatkan penyelesaian jalur lebar menyeluruh yang terbaik dengan tahap fleksibiliti yang lebih tinggi pada harga yang kompetitif. Melalui perjanjian kami dengan TM, kami akan dapat menawarkan perkhidmatan jalur lebar gentian yang diyakini pada kelajuan yang jauh lebih pantas pada harga yang amat berpatutan.”

“Dengan menggunakan rangkaian / infrastruktur HSBB sebagai platform, Formis, menerusi Ohana akan menawarkan perkhidmatan jalur lebar gentian yang direka khusus untuk memenuhi keperluan pelanggan PKS dan pengguna akhir di Malaysia. Penyelesaian hujung-ke-hujung kami menawarkan kelajuan dan lebar jalur terjamin yang diperlukan oleh perniagaan-perniagaan ini bagi memanfaatkan dan menjana aplikasi inovatif dan mengurangkan kos operasi mereka. Kelajuan secara konsisten akan dihantar melalui pengutamaan trafik perniagaan manakala harga dan pakej yang berdaya saing akan membantu mereka mengurangkan kos sampingan; semua ini disokong oleh Perjanjian Tahap Perkhidmatan (SLA) 99.99 peratus kami dengan TM. Hasil daripada usahasama dengan TM ini, kami dapat melancarkan Ohana dalam tempoh masa yang singkat,” kata Pun sambil menambah bahawa suite perkhidmatan jalur lebar Ohana akan mula ditawarkan kepada pelanggan perniagaan pada akhir bulan November 2013.

TheSkop

Portal Teknologi dan Gaya Hidup Paling Best di Malaysia

%d bloggers like this: