80% Pengguna Telefon Pintar Guna WeChat, Malaysia Bakal Peroleh Game Telefon

WeChat Briefing

Lebih 80% daripada 12 juta pengguna telefon pintar di negara ini dijangka menggunakan aplikasi WeChat secara aktif menjelang akhir tahun ini.

Menurut Louis Song yang juga pengurus negara bagi Tencent International Business Singapuran & Malaysia yang menguruskan WeChat, aplikasi tersebut kini berada di kedudukan pertama sebagai aplikasi sembang digital yang paling banyak digunakan.

“Kita akan meneruskan promosi dan menumpukan usaha termasuk menampilkan ciri baru berkomunikasi termasuk menjadikan WeChat sebagai platform pembayaran pada masa akan datang.” kata Song.

Song juga memaklumkan, WeChat akan memperkenalkan platform game mudah alih kepada pengguna Malaysia dalam masa 3 bulan selepas ia mendapat maklum balas memberangsangkan di China.

“Kita sedang memperhalusi sudut perundangan sebelum memperkenalkannya di luar China. Di China, dua game mampu memperoleh 40 juta muat turun hanya selepas 3 hari dilancarkan jadi kami yakin negara ini juga boleh mencatatkan rekod baik” jelas Song.

Beliau juga turut mengakui Malaysia antara penerima sebarang kemaskini ciri dan fungsi baru WeChat termasuk versi 5.0 yang didapati dalam iOS.

“Manakala pengguna Android akan menikmatinya tidak lama lagi.” Song berkata.

“Kita akan menekankan soal pembangunan jenama sesebuah syarikat melalui WeChat seperti model yang berjaya dilakukan di China. Misalnya 300,000 peruncit di China menggunakan WeChat pada Julai 2013. Terdapat bank CMB yang membuka akaun WeChat Bank bagi kemudahan memindahkan wang, pertanyaan bil, pendaftaran online, bayaran kad kredit sebagainya.

“Selain itu, syarikat penerbangan China Southern Airlines menggunakan WeChat yang membolehkan daftar masuk penumpang, pengesahan tiket, maklumat penerbangan dan sebagainya. Dalam tempoh lima hari, 2,500 daftar masuk direkodkan.” tambahnya.

WeChat mencatatkan 100 juta pengguna berdaftar di luar China sekaligus menjadikannya antara aplikasi mesej paling popular di dunia. Antara inisiatif yang menambah kepopularan WeChat termasuk versi 5.0 yang dikemaskini serta kempen pengiklanan global memaklumkan pemain bola sepak terkemuka, Lionel Messi yang menggunakan akaun WeChat.

Angka tersebut juga bertambah sekali ganda dalam tempoh hanya 3 bulan yang juga mencatatkan aplikasi kelima tertinggi di dunia bagi pelbagai platfrom. WeChat menjana populariti di negara seperti Argentina, Brazil, Itali,, Mexico, Filipina, Singapura, Sepanyol, Afrika Selatan, Thailand dan Turki pada Julai 2013.

WeChat juga membantu menaikkan jenama seperti Domino’s Pizza Malaysia dan HTC Malaysia.

 

TheSkop

Portal Teknologi dan Gaya Hidup Paling Best di Malaysia

%d bloggers like this: