Facebook Kena ‘Troll’, Google Pilihan Waze

wazegoogle-maps-update

Akhirnya, sah! Google sudah pun mengumumkan mereka berjaya membeli syarikat peta yang meningkat naik iaitu Waze dengan anggaran nilai pembelian melebihi RM3 bilion.

Meskipun Google sudahpun mempunyai peta menerusi Maps sendiri, syarikat itu dilaporkan ghairah untuk menambah teknologi baru yang belum pernah mereka miliki sebelum ini ditambah saingan begitu kuat dari Facebook yang cuba mengembangkan perniagaan mereka bukan sekadar laman sosial biasa.

Google dan Facebook menjadi dua syarikat terakhir yang menjadi pilihan untuk membeli Waze dan akhirnya Waze memilih Google dan bukannya Facebook. Google berjanji mereka akan membenarkan Waze beroperasi secara bebas dalam mengembangkan inovasi peta, sesuatu yang sebenarnya menarik minat orang-orang kanan Waze berbanding Facebook yang dikatakan mahu sedikit mengongkong syarikat tersebut terutama soal pemindahan ibu pejabat Waze ke California.

Dalam kenyataannya, Brian McClendon selaku Naib Presiden Geo Google yang mengesahkan pembelian Waze dalam blog Google membayangkan pemilihan Waze amat penting apabila kegunaannya ketika pengguna berada dalam kesesakan trafik boleh mengubah laluan yang kurang atau tidak sibuk dan mencadangkan pula lorong mana yang patut diambil. Sesuatu yang sangat diharapkan Google.

McClendon memaklumkan, Waze antara komuniti pemandu yang kian popular untuk mencari laluan terbaik ke tempat kerja atau pulang ke rumah setiap hari. Beliau mengesahkan pasukan pembangun produk Waze akan kekal di tempat asal mereka iaitu di Israel dan mahu memajukan Google Maps dengan ciri Waze.

 

TheSkop

Portal Teknologi dan Gaya Hidup Paling Best di Malaysia

%d bloggers like this: