SKMM Beri Lesen LTE Kepada 8 Syarikat

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mengeluarkan lesen capaian rangkaian Evolusi Jangka Panjang (LTE) kepada 8 syarikat yang membenarkan akses jalur spektrum 2,600 megahertz (MHz), untuk menawarkan perkhidmatan jalur lebar 4G pada kelajuan melebihi 100 megabit sesaat (Mbps).

Syarikat-syarikat itu ialah Celcom Axiata Bhd, DiGi Telecommunications Sdn Bhd, Maxis Broadband Sdn Bhd, Packet One Networks (M) Sdn Bhd, Puncak Semangat Sdn Bhd, REDtone Marketing Sdn Bhd, U Mobile Sdn Bhd dan YTL Communication Sdn Bhd.

Pengerusi SKMM, Datuk Mohamed Sharil Tarmizi, penyedia teknologi WiMAX dan spektrum 3G sedia ada boleh menggunakan peruntukan 2,600 MHz itu untuk memperluas dan meningkatkan kapasiti rangkaian jalur lebar mudah alih masing-masing untuk menampung permintaan pengguna yang semakin meningkat.

Beliau berkata pengenalan peserta baru bertujuan membawa ide dan inovasi baru kepada pasaran manakala perkhidmatan rangkaian maya mudah alih borong 4G akan juga ditawarkan kepada penyedia perkhidmatan lain yang tidak diberikan akses kepada peruntukan itu.

“Kami percaya bahawa keseimbangan itu terletak pada persaingan pasaran yang sihat dan promosi pembangunan industri yang akan membantu perkembangan yang berterusan bagi penyedia perkhidmatan sedia ada, serta menyediakan peluang kepada pemain industri yang baru,” katanya.

Sharil berkata penyedia perkhidmatan juga diharapkan bekerjasama dengan satu sama lain, termasuk berkongsi rangkaian akses spektrum dan radio untuk menggunakan lebar jalur yang lebih besar dan mengurangkan pertindihan menara transmisi fizikal dan dengan cara itu mengurangkan kos menawarkan perkhidmatan.

Kerjasama ini juga dijangka menawarkan pengalaman 4G yang lebih baik dan termampu oleh pengguna.

“Dengan adanya teknologi baru ini, orang ramai diharap akan melihat penambahbaikan dalam gaya hidup digital mereka.

“Bagi komuniti perniagaan pula, mereka akan menikmati pengalaman lebih baik ketika dalam perjalanan apabila menggunakan perkhidmatan awan (cloud), telekerja, telepersidangan dan aplikasi,” kata Sharil.

TheSkop

Portal Teknologi dan Gaya Hidup Paling Best di Malaysia

%d bloggers like this: