Maxis Rugi, Harap Pada Fiber

Harga saham Maxis turun 11 sen atau 1.69 peratus kepada RM6.39 sehingga jam 10.46 pagi selepas mencatatkan keputusan kewangan yang mengecewakan semalam.

Alliance Research berkata keuntungan bersih operasi teras sebanyak RM1.57 bilion dicatatkan di bawah jangkaan, yang sebahagian besarnya berikutan margin lebih rendah kerana keputusan perbelanjaan peranti lebih tinggi dan kerugian
permulaan bagi perkhidmatan dalam negara.

Katanya syarikat itu juga melaksanakan satu program pemodenan rangkaian, yang akan menghasilkan penyusutan nilai lebih pantas sebanyak RM124 juta dan  RM55 juta pada tahun kewangan 2012 dan 2013.

“Kami telah menurunkan unjuran pendapatan tahun kewangan 2012-2014 kami sebanyak 7.4 peratus hingga 12.3 peratus bagi mencerminkan margin lebih rendah dan penyusutan nilai lebih pantas,” katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.

Hong Leong Investment Bank Research berkata pemangkin bagi pendapatan Maxis dijangka dari kadar penembusan telefon pintar yang lebih tinggi yang akan meningkatkan purata perolehan setiap pengguna serta kadar ambilan internet fiber di dalam negara yang lebih kukuh daripada jangkaan.

Katanya rangkuman produk bersinergi dengan rangkaian Astro berbayar, penyumberan luar rangkaian infrastruktur dan rasionalisasi tenaga kerja juga antara penyumbang kepada untung rugi syarikat itu.

Bagaimana pun, syarikat penyelidikan itu berkata, margin rendah perkhidmatan tetap Maxis, pada peringkat awal akan menekan daya untung dengan purata perolehan setiap pengguna yang rendah.  Bernama

TheSkop

Portal Teknologi dan Gaya Hidup Paling Best di Malaysia

%d bloggers like this: