Astro Kerjasama Dengan Maxis Untuk IPTV

Astro Malaysia Holdings Bhd dan Maxis Bhd, yang menandatangani perjanjian bagi menawarkan Astro TV dan radio, jalur lebar kelajuan tinggi dan suara kepada rakyat Malaysia Rabu, akan menawarkan pakej pengguna fasa pertama menjelang akhir tahun.

Menerusi perjanjian itu, Maxis, penyedia perkhidmatan komunikasi bersepadu, menjalin usaha sama 10 tahun dengan Astro, yang secara eksklusif akan menjadi penyedia perkhidmatan kandungan televisyen Protokol Internet (IPTV) selama tiga tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif Maxis Sandip Das berkata kedua-dua pihak kini dalam peringkat membangunkan pakej-pakej dan akan memasarkannya bersama internet gentian, internet mudah alih, internet tanpa wayar dan perkhidmatan talian pelanggan Digital Asymmetrik Maxis.

“Banyak pakej sedang dibangunkan dan kami menjangkakan ia dapat dipasarkan dalam tempoh satu atau dua suku akan datang, dan kedua-dua pihak akan memasarkan bersama pakej-pakej itu menerusi semua saluran pengedaran masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas majlis pemeteraian itu.

“Secepat mana kami memasuki pasaran dan sesuai dengan kehendak pengguna merupakan ujian sebenar,” katanya yang menambah Maxis mengunjurkan pendapatan menerusi usaha sama itu akan ditawarkan tahun depan. – Bernama