YouTube Siar Sukan Olimpik

Jawatankuasa Antarabangsa Olimpik (International Olympic Committee, IOC) hari ini mengumumkan akan memancarkan siaran langsung atas talian acara gilang-gemilang Olimpik London 2012 ke 64 negara melalui saluran YouTube rasmi, http://youtube.com/olympic.

Ketika acara berkenaan berlangsung dari 27 Julai hingga 12 Ogos nanti, peminat sukan di Malaysia dan 63 lagi negara merentasi Asia dan Afrika akan dapat mengikuti liputan langsung berserta ulasan terpilih Olimpik London 2012 melalui platform digital berkenaan – secara percuma. Penonton dari negara-negara ini akan dapat mengikuti perkembangan dari saluran YouTube khas berkenaan, melalui capaian internet biasa mahupun melalui peranti terkini seperti telefon pintar serta mana-mana peranti yang membolehkan capaian ke internet dan YouTube.

Saluran khas IOC berkenaan mengandungi 11 siaran langsung berdefinisi tinggi berbeza dalam satu masa, semuanya disertakan dengan ulasan berbahasa Inggeris. Turut disediakan ialah 10 siaran langsung dari London 2012, yang akan bersiaran dari 9 pagi hingga 11 malam (waktu di London; pada hari-hari tertentu, ia akan dimulakan lebih awal atau tamat lebih lewat bergantung kepada jadual acara), serta siaran 24 jam Olympic News Channel, yang antara lain akan turut memuatkan ringkasan keputusan semasa, laporan menyeluruh acara-acara yang berlainan dan wawancara bersama atlit.

Peminat juga turut berkesempatan untuk menyaksikan sorotan terpenting dan acara penuh – semuanya disusun mengikut hari, acara medal atau sukan. Saluran berkenaan juga akan memaparkan kandungan peristiwa bersejarah sekitar perjalan Olimpik ditahun-tahun terdahulu. Keseluruhannya, saluran ini akan menawarkan 2,200 jam liputan sukan Olimpik London 2012, termasuk semua acara medal akhir.

Pengarah Urusan, IOC Television and Marketing, Timo Lumme berkata; “Kami amat berbesar hati untuk membawakan liputan atas talian bagi Olimpik London 2012 kepada semua peminat sukan secara percuma, merentasi 64 buah negara. Kami mula menawarkan klip-klip di saluran YouTube ketika Olimpik Beijing 2008 ke rantau ini, dan sejak itu meneruskan usaha untuk membawakan liputan yang lebih menyeluruh bagi acara di London nanti melalui YouTube juga. Kini, kami turut mampu membawakan siaran lansung ketika acara Olimpik ini berlansung, melengkapkan lagi liputan yang sedia ada oleh rakan penyiaran kami di seluruh dunia melalui pelbagai platform media lainnya.”

Ketua Rakan Kongsi Kandungan Sukan Youtube, Claude Ruibal pula menyatakan: “Daripada bola lisut kepada kriket dan kepada seni mempertahankan diri, YouTube berhasil menjadi hab global untuk sukan secara lansung. Bagaimanapun, tidak ada acara sukan yang lebih menarik berbanding Olimpik, dan kami cukup teruja untuk berkerja sama dengan IOC bagi membawakan liputan lansung acara antarabangsa yang sebenar seperti Olimpik ini ke serata dunia. IOC menggunakan sebaik mungkin platform yang kami sediakan dengan menawarkan 11 siaran berbeza di dalam satu saluran khusus, yang boleh disaksikan di komputer, telefon bimbit, dan semua peranti yang disambung ke Internet. Kami berharap agar peminat sukan menikmati setiap acara yang mereka minati, pada bila-bila masa yang mereka kehendaki.”

Saluran lansung di YouTube IOC menyediakan capaian digital eksklusif bagi acara Olimpik London 2012 di negara-negara di mana khidmat penyiaran digital masih belum diperoleh melalui rakan penyiaran IOC, seperti di:

Afghanistan, Bangladesh, Brunei, Bhutan, Kemboja, Timor Timur, India, Indonesia, Iran, Laos, Malaysia, Maldives, Mauritius, Mongolia, Myanmar, Nepal, Pakistan, Papua New Guinea, Singapura, Sri Lanka, Thailand, Vietnam.

Juga ke 44 negara Afrika-Sahara secara tidak eksklusif, termasuk:

Angola, Benin, Botswana, Burkina Faso, Burundi, Cameron, Cape Verde, Republik Afrika Tengah , Chad, Comoros, Republik Demokratik Congo, Republik Ivory Coast, , Equatorial Guinea, Eriteria, Ethiopia, Gabon, Gambia, Ghana, Guinea, Guinea-Bissau, Kenya, Lesotho, Liberia , Madagascar , Malawi , Mali, Mozambique, Namibia, Niger, Nigeria , Rwanda, São Tomé dan Príncipe Senegal, Seychelles , Sierra Leone , Swaziland, Tanzania, Togo, Uganda, Zambia dan Zimbabwe.

TheSkop

Portal Teknologi dan Gaya Hidup Paling Best di Malaysia

%d bloggers like this: