Test Produk: Samsung Galaxy S3, Adakah Ia Betul-Betul Berbaloi?

Samsung Galaxy S3 sudah berada di gelanggang industri telefon pintar dengan 3 ciri menarik yang kami di theskop.com sangat suka, prosesor quad core 1.4GHz Exynos, paparan Super AMOLED HD dan kamera 8.0MPnya.

Sekali pandang, S3 nampak macam telefon biasa berkuasa Android 4.0 ICS lain di pasaran tapi apabila menggunakan telefon berkuasakan prosesor quad core yang pertama kali muncul dalam telefon Samsung sepanjang ia dicipta memang mengubah tanggapan kami.

Pada awalnya, kami berasa S3 mungkin menjadi sekadar telefon biasa yang tiada lebih sangat atau setakat Hooha seperti kebanyakan jenama lain apabila sesuatu model baru diperkenalkan namun S3 memang terbukti dengan kuasa quad core mereka.

Contoh mudahnya begini, selalunya kalau anda mahukan capaian akses internet yang pantas, pelan data atau syarikat telko yang jadi nyawa anda tetapi sekarang dengan S3, ia membantu mempercepatkan lagi proses membuka internet, pada anggaran kami, ia membantu 20% lebih pantas berbanding jika anda menggunakan telefon dual core saja.

Jadi masa akses kami untuk membuka laman web lebih cepat, malah membuka banyak browser, facebook, twitter, instagran dan sebagainya sekaligus pun tidak mendatangkan masalah. Tidak mengecewakan dan tidak perlu untuk ‘Clean Data’ di setting.

Manakala skrin Super AMOLED HD itu sendiri menjadi tarikan ke2 yang kami suka dengan paparannya memang sangat jelas. Di bawah panas terik cahaya matahari pun memang tidak mendatangkan kesan langsung.

Cuba anda rekod video menggunakan S3 dan tonton semula rakaman video tersebut. Anda akan mendapati kualiti video yang dipaparkan semula di skrin memang menakjubkan.

Skrin 4.8 inci adalah ciri utama S3 dan ia tidak dinafikan memberi kepuasan ketika menonton dan sedap dipegang dalam tangan.

Biasalah juga, kami menguji kualiti kamera 8.0 megapiksel dengan mencuba teknik ‘burst’ yang dikatakan mampu menangkap 8 frame gambar dalam satu saat. Klik! Klik! Kami hanya dapat 7 keping gambar tapi sebenarnya itupun sudah cukup. Jadi anda boleh pilih satu gambar paling lawa daripada 7 keping yang ada.

Telefon pintar ini juga tahan lasak, sudah 6x kali dijatuhkan ke lantai (lima berkarpet, satu di atas marmar) tapi tiada kesan pecah atau calar. Agak ajaib! Setakat ini juga, pemakaian bersama dalam kocek.

Bateri. Terkejut kami apabila ia boleh bertahan 1 ½ hari. Kalau yang lain, satu hari itupun dah cukup baik. Ada yang lagi teruk, pakai lima jam dah ‘kong’.

Tapi kami kurang berkenan dengan rekaan lengkung di empat bucunya memandangkan ia agak melengkung sangat. Kami sarankan S4 nanti kembali ke rekaan seperti S2 tapi dengan body yang nipis.

Penggunaan S-Voice seakan ciri Siri pada iPhone 4s juga perlu perubahan secepat mungkin. Kami rasakan ia langsung tidak berfungsi dengan baik dan memberi jawapan yang sama kepada apa jua soalan yang kami tanya.

NFC? Setakat ini, fungsi ini tidak berguna sangat di Malaysia. Maklumlah, ia bukan lembu!

Harganya RM2,199. Murah sedikit berbanding iPhone 4s tapi boleh dikurangkan lagi kepada RM1,999. Tolonglah kami ya, Samsung!

TheSkop

Portal Teknologi dan Gaya Hidup Paling Best di Malaysia