Test Produk: Acer Iconia W500

Acer memanglah terkenal sebagai nama besar dalam industri komputer terutama jika ia melibatkan pengeluaran laptop atau netbook yang menonjolkan kecanggihan teknologi unik untuk pengguna yang mahu menggunakannnya dalam kehidupan seharian.

Pengguna seakan sudah biasa menggunakan laptop jenama Acer apatah lagi harga yang ditawarkan sememangnya mampu milik.

Baru-baru ini, mereka (Acer) mencuba nasib dengan teknologi terbaru yang ‘dua alam’, nak kata tablet pun tak, netbook pun tak.

Namun, Acer pantas mengatakan ia gabungan kedua-duanya dan memangggil model Iconia Tab W500 sebagai peranti hibrid yang mempunyai kuasa netbook pada tablet.

Fungsi multimedia, hiburan, komunikasi, peluncuran laman web dan aplikasi produktiviti, semua bergerak dengan lancar di atas skrin, sekali gus memberikan pengguna senario terbaik bagi setiap yang dilakukan.

Menariknya, ia menggunakan skrin beresolusi HD 1280 x 700 jenis LCD TFT LED-backlit berkecerahan tinggi yang menggunakan teknologi Acer CineCrystal.

Papan kekuncinya boleh dicabut dan ia akan bertindak sebagai tablet untuk jangka masa bateri selama tiga jam.

Di samping itu, ia menggunakan sistem operasi Microsoft Windows 7 dan mempunyai saiz 10.1 inci dengan memori RAM yang ditawarkan ialah 2GB.

Ia ditambah dengan penggunaan pemprosesan AMD dengan memori sebanyak 32GB serta dikatakan tablet pertama yang dilengkapi port HDMI di ruangan tepi.

Iconia Tab W500 bertepatan bagi memenuhi kehendak pengguna yang mementingkan masa, gaya hidup profesional dan pada masa sama tidak mahu ketinggalan daripada mendapatkan maklumat terkini dengan cara lebih mudah.

Namun lebih kalau Acer menukar sistem operasinya (OS) kepada Android atau menawarkan dua OS berbeza kerana penguji berpendapat ia lebih sempurna jika Honeycomb (OS terbaru Android) yang menjadi jantung kedua model terbabit.

Selain itu, Acer perlu memikirkan untuk menambah port USB kepada sekurang-kurangkan tiga sambungan memandangkan hanya dua saja ditetapkan (tinggal satu jika ia disambung ke dok papan kekunci).

Malah, penggunaan papan kekunci yang disediakan bersama perlu diperluaskan dan tidak sekadar berfungsi untuk menaip semata-mata.

Tapi, harga yang ditawarkan iaitu hanya RM1,699 untuk komputer hibrid berkuasa tinggi memanglah berbaloi.