Reviu Blackberry Playbook di Malaysia

Di sebalik teka-teki tarikh sebenar ia dikeluarkan di Malaysia, Research In Motion (RIM) mengurangkan sedikit keresahan apabila mendedahkan tablet pertama mereka, Blackberry Playbook akan diperkenalkan di Amerika Syarikat pada 19 Mei ini.

Ia akan dilengkapi storan pilihan berkapasiti 16GB, 32GB dan 64GB dengan harga anggaran bermula RM1,499, RM1,799 dan RM2,099.

Setakat ini, RIM mengesahkan aksesori yang dijual secara berasingan termasuk papan kekunci, casing dengan empat warna seperti dalam gambar di atas dan dok untuk menempatkan tablet tersebut.

Model BlackBerry PlayBook didatangkan dengan skrin sesentuh tujuh inci dan kamera berkembar definisi tinggi 5.0 megapiksel pada bahagian belakang dan 3.0 megapiksel di bahagian depannya.

Playbook tidak akan menggunakan sistem operasi Blackberry 6 sebaliknya menggunakan teknologi QNX Neutrino yang berkuasa tinggi sepadan dengan pemprosesan 1GHz yang dibekalkan.

Sasaran penggunanya ditujukan kepada individu profesional yang bergerak seharian dalam urusan kerja masing-masing namun pada sama mahukan peranti hiburan menemani mereka pada saiz kompak.

Ekosistemnya lengkap dengan aplikasi tersedia termasuk menyokong POSIX OS, Open GL, Webkit, Adobe Flash, Java dan Adobe Mobile AR.

Saiz? 130 x 194 x 10mm. Beratnya memang ringan dengan hanya 425 gram.

Wakil RIM pula tidak mahu mengulas tentang saiz Playbook yang mungkin akan dibesarkan kepada 10.1 inci pada masa akan datang.