Kerajaan Akui Jalur Lebar Hanya Tertumpu Di Bandar

Persidangan Dewan Negara hari ini diberitahu bahawa kesedaran dan permintaan yang tinggi daripada penduduk dan syarikat perniagaan di bandar menyebabkan penyediaan perkhidmatan jalur lebar lebih tertumpu di kawasan bandar.

Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Joseph Salang Gandum berkata, faktor itu bagaimanapun tidak menyebabkan kerajaan meminggirkan kehendak serta keperluan penggunaan perkhidmatan jalur lebar untuk penduduk di pinggir bandar dan di luar bandar.

“Tidak dinafikan bahawa penyediaan perkhidmatan jalur lebar lebih tertumpu di kawasan bandar, namun penyediaan perkhidmatannya di pinggir dan di luar bandar juga sentiasa diberi penekanan,”katanya ketika menjawab soalan Senator Datuk Abdul Rahim Abdul Rahman.

Abdul Rahim ingin tahu apakah tindakan kerajaan untuk memastikan perkhidmatan internet jalur lebar diperluaskan ke seluruh negara dan tidak hanya tertumpu di kawasan tertentu sahaja.

Salang berkata, bagi memenuhi semua permintaan, pihak kementerian dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) telah dan sedang melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan liputan jalur lebar serta memberi kesedaran dan merangsang permintaan terhadap kepentingan jalur lebar.

Beliau berkata, antara inisiatif yang sedang dijalankan oleh pihak kementerian di seluruh negara ialah pelaksanaan Pusat Jalur Lebar Komuniti (PJK), projek Kampung Tanpa Wayar dan pemberian komputer riba di bawah projek Komputer 1Malaysia.

“Selain dari itu, di bawah Pelan Transformasi Ekonomi kementerian dengan kerjasama kementerian-kementerian berkenaan juga sedang melaksanakan 10 projek permulaan berkaitan kandungan komunikasi dan infrastruktur bagi mempercepatkan lagi penyediaan jalur lebar ke seluruh negara,” katanya.

Salang berkata, ketika ini terdapat sebanyak 10 syarikat utama yang menyediakan perkhidmatan internet jalur lebar menggunakan teknologi berwayar dan tanpa wayar di negara ini dan berdasarkan liputan sedia ada Malaysia telah mencapai penembusan jalur lebar isi rumah sebanyak 57.9 peratus atau 3.84 juta isi rumah.

Bagi memenuhi permintaan terhadap penggunaan internet di luar bandar kementerian itu telah menyediakan pusat jalur lebar mini di semua pejabat penerangan seluruh negara, mewujudkan pusat jalur lebar komuniti di setiap daerah malah semua sekolah menengah juga akan dijadikan pusat jalur lebar di masa depan, katanya.

Beliau berkata, untuk tujuan itu juga kementerian telah membuka sebanyak 2,400 pusat jalur lebar di seluruh negara setakat ini, tidak termasuk 164 kampung tanpa wayar yang telah diwujudkan dan beroperasi ketika ini. – Bernama