HyppTV Ada 4 Saluran Baru

Telekom Malaysia Berhad (TM) telah menambah empat saluran baru kepada perkhidmatan televisyen berbayar terbaru Malaysia – HyppTV, bermula dari 14 Januari 2011. Saluran-saluran baru tersebut adalah UTV Movies, UTV Bindass, Jaya Max dan Bloomberg Television.

UTV Movies, UTV Bindass, Jaya Max dan Bloomberg Television merupakan saluran premium yang boleh dinikmati oleh para pelanggan HyppTV secara ala carte. UTV Movies, UTV Bindass dan Jaya Max adalah saluran hiburan dari negara India yang memaparkan filem-filem Bollywood, program realiti dan juga program-program muzik Hindi dan Tamil, manakala Bloomberg TV merupakan saluran berita perniagaan antarabangsa. Harga langganan untuk saluran-saluran premium baru ini bermula dari serendah RM3 sebulan hingga RM6 sebulan.

Naib Presiden Eksekutif, New Media, TM, Jeremy Kung berkata, “Empat saluran baru HyppTV menandakan permulaan tahun baru yang menyeronokkan untuk para pengguna gaya hidup digital UniFi. Penawaran kandungan baru berasaskan berita antarabangsa dan Bollywood ini mencatatkan satu lagi titik penting dalam perancangan keseluruhan kami untuk mempelbagaikan lagi saluran linear dan himpunan kandungan VOD kami secara berperingkat-peringkat bagi memenuhi kepelbagaian citarasa para pelanggan kami.”

Dengan HyppTV, kami menawarkan para pelanggan UniFi satu pengalaman menonton yang baru dengan lebih fleksibiliti dan kebebasan untuk membeli saluran yang diingini dan menikmati kandungan waktu perdana pada bila-bila masa, setiap masa,” tambah Jeremy.

Perkhidmatan HyppTV TM telah dilancarkan pada Oktober tahun lepas dan ditawarkan kepada semua pelanggan kediaman Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB) UniFi TM, sebagai sebahagian daripada penawaran perkhidmatan tiga serangkai yang merangkumi Telefon, Internet Berkelajuan Tinggi dan perkhidmatan televisyen berbayar – termasuk saluran percuma dan premium serta Video atas Permintaan (VOD) dan kandungan interaktif.

Bermula 1 November 2010, para pelanggan UniFi telah menikmati kandungan tontonan yang hebat dari serendah RM3 setiap saluran setiap bulan untuk langganan saluran Premium dan RM8 setiap tajuk untuk kandungan VOD. Caj ini adalah untuk semua pakej UniFi untuk pelanggan kediaman.

HyppTV menawarkan kandungan VOD yang terbahagi kepada kategori-kategori berikut: Latest Movies, Home Cinema, Kids Favourite, Hollywood Premiere Series, Past Season dan VOD News – Fokus Hari Ini. HyppTV membolehkan para pelanggan menonton lebih daripada 1,000 jam filem-filem Hollywood Blockbuster dan Premiere Series mengikut keselesaan mereka tanpa terikat kepada sebarang jadual tetap. Selain itu, HyppTV juga menawarkan aplikasi-aplikasi interaktif seperti Malaysian History, Malaysian Football, Flight Information, Waktu Solat, TED.com dan permainan-permainan interaktif.

HyppTV kini mempunyai 33 saluran yang ditawarkan menerusi pakej kediaman UniFi – 14 saluran ditawarkan secara percuma manakala 19 saluran lagi boleh dibeli secara ala carte. Saluran-saluran percuma termasuklah TV1, TV2, TV3, NTV7, 8TV, TV9, Hikmah, Channel NewsAsia, Euronews, DW-TV Asia+, Australia Network, Travel Channel, Luxe.TV HD dan VOD News – Fokus Hari Ini.

19 saluran premium pula merangkumi BabyFirst TV, BBC Knowledge, BBC Lifestyle, CBeebies, Channel [V] Taiwan, fashiontv HD, fashiontv, iConcerts HD, MUTV, Screen RED, STAR Chinese Channel, STAR Chinese Movies 2, Syfy Universal, Universal Channel dan Warner TV, selain 4 lagi saluran yang dilancarkan bulan ini. TM terus menambahkan penawaran saluran HyppTVnya bagi memberikan program terbaik untuk semua golongan.

UniFi TM kini ditawarkan menerusi tiga pakej kediaman. Pakej kediaman tiga serangkai tersebut adalah VIP5 pada RM149 sebulan, VIP10 pada RM199 sebulan dan VIP20 pada RM249 sebulan. Perkhidmatan HyppTV ditawarkan menerusi lebar jalur 8Mbps yang khusus untuk perkhidmatan tersebut, sebagai tambahan kepada kelajuan akses pakej UniFi yang dilanggani. Oleh itu, ia tidak akan memberi kesan terhadap pengalaman tontonan dan data pelanggan.

Untuk senarai dan harga lengkap saluran premium dan kandungan VOD, layari http://www.unifi.my/hypptv/.

TheSkop

Portal Teknologi dan Gaya Hidup Paling Best di Malaysia

%d bloggers like this: