Ujian Mantap Canon EOS 60D

Trend semasa kamera ‘digital single-lens reflex’ (DSLR) semakin menggilai peminat gajet ditambah pula pelbagai teknologi baru yang dihasilkan bagi memberikan lebih kepuasan kepada pengguna.

Berbanding satu ketika dulu, kebanyakan penggemar kamera terpaksa terkial-kial mencari kaedah terbaik untuk menghasilkan gambar berkualiti daripada kamera SLR yang menggunakan filem, lantaran gambar yang diambil tidak boleh dilihat serta-merta.

Bantuan DSLR berjaya mengetengahkan kualiti visual, warna yang terang dan tampak sebenar serta keupayaan menetapkan latar belakang bersesuaian.

Malah dengan adanya DSLR, semua itu bukan masalah besar lagi kerana hasilnya boleh dilihat segera di skrin, sekali gus membolehkan penggunanya terus bereksperimen terutama jika anda memiliki peranti berkuasa tinggi seperti Canon EOS 60D.

Bunyinya kelihatan menarik dengan jenama yang boleh dipercayai seperti Canon kerana apa yang dikehendaki seorang jurugambar sama ada amatur atau profesional sudah tersedia di kamera DSLR, namun syarikat pengeluarnya terus meningkatkan fungsi dengan kemampuan merakam video dalam format definisi tinggi (HD).

EOS 60D mempunyai penggunaan ISO luar biasa serta cepat memindah turun gambar seperti yang sering diidamkan penggemar DSLR.

Bukan setakat itu, penguji memiliki kebebasan untuk merakam subjek walaupun mempunyai tahap pencahayaan rendah tanpa perlu bergantung kepada ‘flash’ atau ‘tripod’, sesuatu yang sukar digambarkan sehingga anda sendiri melakukannya.

Penguji menganggap kemampuan tinggi terutama membabitkan ISO sehingga 100 ke 6,400 yang boleh dicapai bersesuaian untuk mereka yang baru berjinak dalam dunia fotografi.

Menariknya, resolusi kamera 18 megapiksel menghasilkan visual jelas menunjukkan prestasi kelajuan ISO tetap menjadi keutamaan tinggi untuk Canon yang dikuasakan pemprosesan DIGIC IV dengan skrin 3.0 inci.

Model 60D yang berada di bawah dinasti EOS direka mantap untuk kerja sederhana atau ‘berat’ dan ia bekerjasama dengan baik untuk disesuaikan dengan lensa Canon EF 8-15 f4 L, EF 300mm f2.8 L IS II dan EF 400mm f2.8 L IS II.

Selain itu, pengguna bakal mempunyai pilihan menukar mampatan jenis RAW serta kawalan gambar untuk warna hidup atau neutral.

Ia boleh digunakan untuk apa saja persekitaran dalam hujan atau panas seperti yang diuji menghasilkan prestasi sempurna dan responsif.

Hasil yang dirakam menggunakan fungsi kestabilan warna putih (AWB) pula tampak halus dan mengekalkan suasana pencahayaan persekitaran.

Bercakap mengenai fungsi rakaman video dalam sebuah kamera foto seperti DSLR, pasti ramai yang masih sangsi mengenai kemampuan dan kualitinya kerana ramai beranggapan kamera DSLR hanya lebih sesuai untuk merakam gambar foto.

Namun, realitinya, 60D sepadan untuk digunakan secara komersial dan serius untuk merakamkan video dalam beberapa tugasan yang diberi, malah apa yang lebih hebat untuk diperkatakan, hasilnya mampu menandingi sebuah kamera video sebenar.

Jika kebanyakan profesional dalam dunia penggambaran video di negara ini, mahupun seluruh dunia masih menggunakan kamera video format 3CCD, teknologi HD yang tersedia dalam kamera DSLR pasti memberikan kualiti gambar yang lebih menarik dengan warna lebih tajam.

Paling utama ialah kamera DSLR mempunyai puluhan lensa yang boleh ditukar, sekali gus memberikan kesan berbeza. Contohnya, jika menggunakan lensa mata ikan (fisheye), kesan khas pada video pasti lebih hebat.

Penggunaan lensa kamera DSLR juga membolehkan kita bermain dengan bukaan lensa itu (aparture), sekaligus menghasilkan kesan video lebih kreatif.

Pastinya, Canon EOS 60D adalah kepuasan untuk dunia fotografi terutama bagi golongan profesional memandangkan harganya mencecah lima angka.

Harganya pula (RM3,338 – kerangka saja), boleh dianggap berpatutan malah ia mungkin pulangan lumayan kepada individu yang berkecimpung dalam arena fotografi.