Untuk menggalakkan kanak-kanak membaca dalam bahasa Inggeris, syarikat Les” Copaque Production Sdn Bhd (Les” Copaque) hari ini melancarkan majalah “Upin & Ipin: The Magazine” dalam bahasa antarabangsa itu.

Majalah komik yang menyusul selepas majalah Komik Upin dan Ipin dalam Bahasa Melayu itu dilancarkan isteri Timbalan Perdana Menteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman di sini.

Ketika berucap melancarkan majalah itu, Noorainee berkata penerbitan majalah berkenaan dalam bahasa Inggeris adalah untuk menarik minat kanak-kanak dalam membaca menggunakan bahasa antarabangsa dunia itu.

“Penerbitan majalah “Upin and Ipin The Magazine” dalam bahasa Inggeris bukan bertujuan untuk mengetepikan Bahasa Melayu yang sentiasa disanjung sebagai bahasa ibunda kita.

“Ia lebih kepada menambahkan lagi sumber bacaan bagi kanak-kanak. Ini kerana bagi kanak-kanak yang ingin mempelajari bahasa Inggeris, mereka boleh menggunakan komik ini sebagai satu kaedah mempelajarinya,” katanya.

Isteri Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran berkata siri animasi Upin dan Ipin adalah sangat popular dalam kalangan kanak-kanak termasuklah cucu-cucu beliau sendiri.

“Melalui program inilah mereka turut bercakap dalam bahasa Upin dan Ipin dan sekaligus mempelajari Bahasa Inggeris melalui majalah ini dengan penggunaan bahasa dan intonasi serta gaya kedua-dua watak animasi itu,” katanya.

Menurut beliau, majalah baru ini akan membuat pembaca lebih seronok sambil meningkatkan kefahaman dan penguasaan bahasa itu.

“Justeru, anak-anak sekalian, semaikan minat membaca dan jadikan membaca satu amalam dan tabiat yang baik dan dilakukan secara berterusan kerana membaca adalah punca ilmu,” katanya.

Siri animasi terkenal itu bukan setakat memberi hiburan tetapi telah berjaya memberi pengajaran dan nilai-nilai murni dalam kehidupan harian kita selain mempromosikan konsep gagasan 1Malaysia, kata Noorainee.

“Upin dan Ipin juga memaparkan konsep 1Malayia di mana kanak-kanak berbilang bangsa pergi ke sekolah bersama-sama, bermain bersama sambil mempelajari dan menghormati akan nilai budaya satu sama lain,” katanya.

Majalah komik yang dihasilkan oleh Les” Copaque dengan kerjasama NYLA Sdn Bhd itu turut mengandungi berita, aktiviti, maklumat dan peraduan berkaitan karaktor kartun Upin dan Ipin.

Turut hadir pada majlis pelancaran berkenaan ialah Pengarah Eksekutif NYLA Sdn Bhd Tunku Maziah Tunku Mukhtar dan Pengarah Urusan Les” Copaque Production Sdn Bhd Burhanuddin Mohd Radzi.

Majalah itu akan berada di pasaran minggu depan dengan harga RM5.90 senaskah. – Bernama

Share