Yashica digiFilm Gabung Lomografi Dan Fotografi Sebenar

Share Button

Mungkin nama Yashica tidaklah segah nama seperti Canon, Nikon, Fujifilm, Minolta, dan lain-lain. Namun dikala subuh era fotografi di Jepun, Yashica adalah antara nama yang membangunkan industri fotografi negara Jepun bersama yang lain. Disebabkan persaingan yang amat sengit, Yashica telah tenggelam ditindih dan tahun 2017 mereka bercadang ingin kembali melalui Yashica Y35 digiFilm.

Yashica Y35 digiFilm adalah sebuah kamera digital yang unik kerana hadir dengan sedikit gimik. Kalau Fujifilm siri X mengekalkan rupa luar analog tapi dalamnya penuh komponen elektronik, Y35 digifilm masih mahu mengekalkan modul filem fizikal pada kamera mereka.

Modul filem itu bertindak sebagai pengubah ISO dan jenis gambar yang akan ditangkap. Misalnya ada modul filem ISO 1600 dan filem ISO 400 dalam bentuk hitam putih. Pengguna juga perlu melakukan aksi menggulung filem mengugnakan tuil khas untuk mengaktifkan filem itu.

Modul filem hanyalah bertindak sebagai pengaktif mode dan pengguna masih memerlukan kad mikro-SD untuk menyimpan gambar.

Tiada skrin digital untuk melihat hasil gambar ataupun membuang gambar jika tersalah. Kamera ini mengambil kuasa daripada 2 bateri AA.

Kalau anda nak rasa pengalaman bagaimana atuk dan nenek kita menggunakan kamera, Yashica sedang memungut dana untuk penghasilan kamera ini di Kickstarter dan anda boleh mendapatkan kamera ini pada harga serendah USD124 (RM522) dan menerimanya seawal April 2018.

[Sumber: Petapixel]

Apa komen anda?