Selamat ulangtahun ke-25 Thinkpad!

Share Button

Buat pekerja pejabat terutamanya, nama Thinkpad pasti tidak asing bagi mereka. Ia adalah sebuah laptop yang terkenal tahan lasak dan boleh digunakan untuk satu jangka masa yang lama. Tapi tahukah anda, Thinkpad tahun ini meraikan ulangtahunnya yang ke-25?

Laptop lagenda Thinkpad 700C

Thinkpad direka oleh Richard Sapper di Yamato Labs, Jepun pada 5 Oktober 1992 dengan model pertamanya dikenali sebagai ThinkPad 700C. Dalam masa beberapa bulan sahaja, ia telah memenangi ratusan anugerah dan menjadi simbol status bagi presiden dan CEO syarikat.

Semenjak itu, laluan hidup Thinkpad semakin melebar. Thinkpad telah menjadi satu ikon yang disegani dalam dunia teknologi. Ia telah meneroka ke seluruh pelusuk dunia, termasuk ke angkasa lepas dan membantu banyak syarikat untuk berkembang.

Kerana itu, Lenovo telah menghasilkan satu laman web khas #ThinkStories, yang mengumpulkan pelbagai kisah pengguna bersama laptop Thinkpad mereka dalam melakukan kerja-kerja seharian. Ia boleh dilayari di laman www.thinkstories.com.

Laptop ThinkPad Anniversary Edition 25

Tetapi ia tidak terhenti di sini, Lenovo turut meraikan ulangtahun ke-25 ini dengan menghasilkan ThinkPad Anniversary Edition 25 (Edisi UlangTahun 25). Ia menampilkan rekaan retro ikonik seperti 7-baris papankekunci klasik Thinkpad berlampu, butang bunyi khas, pelbagai status LED dan logo warna-warni.

Rupa luarannya memang klasik tetapi kuasa di dalamnya adalah moden. Ia diperkasa pemproses Intel Core i7-7500U, grafik NVIDIA GeForce 940MX, RAM DDR4 16GB, storan SSD 512GB dan skrin sentuh 14-inci HD Penuh. Kesemua ini di dalam badan seberat 1.6kg sahaja.

Laptop edisi ulangtahun ini juga lengkap dengan pelbagai sambungan moden seperti USB 3.0, USB-C dengan sokongan Thunderbolt 3, HDMI, Gigabit Ethernet dan pembaca kad memori 4-dalam-1. Ia menjalankan Windows 10 Pro yang boleh diakses pantas melalui pengimbas capjari di tepi papankekunci.

Bagaimanapun, laptop ThinkPad Anniversary Edition 25 ini hanya terdapat di negara terpilih, dan Malaysia masih belum ada di dalam senarai jualan. Untuk rujukan, ia dijual di Amerika Syarikat dengan harga USD1,899 (~RM8,041).

Berminat dengan laptop Thinkpad ini? Memandangkan ia masih belum diketahui akan dijual di Malaysia, apa kata baca lebih lanjut tentangnya di laman produk ThinkPad 25.

Apa komen anda?