Redmi Note 5A phablet termurah Xiaomi akan tiba di Malaysia

Share Button

Satu lagi telefon pintar mampu milik dari Xiaomi dilihat akan tiba di Malaysia tidak lama lagi. Walaupun belum diumumkan Mi Malaysia, Redmi Note 5A kini telah dibuka tempahan oleh beberapa penjual di Malaysia.

Redmi Note 5A ini dikatakan adalah set original Malaysia, yang datang dengan jaminan dari Mi Malaysia. Ia akan dijual pada harga hanya RM549, tetapi dengan spesifikasi yang jauh lebih rendah dari Redmi Note 4 yang telah dijual di Malaysia.

Telefon pintar Redmi Note 5A ini dikuasakan pemproses Snapdragon 425, bersama 2GB RAM dan 16GB storan dalaman sahaja. Ia menerima kad mikroSD untuk storan tambahan. Menariknya, ia memiliki 3 slot kad berasingan, 2 untuk kad sim dan 1 lagi kad mikroSD.

Kamera depannya dilengkapi sensor 5MP f/2.0. Manakala kamera belakang 13MP f/2.2, memiliki autofokus PDAF dan LED Flash.

Seperti Redmi Note lain, Redmi Note 5A memiliki skrin sebesar 5.5-inci. Cuma resolusinya lebih rendah, hanya 1280×720 HD sahaja. Baterinya juga lebih kecil, berkapasiti 3,080mAh.

Spesifikasi Redmi Note 5A ini hampir sama dengan Redmi 4A yang telah dijual di Malaysia. Selain pemproses dan RAM yang sama, Redmi 4A memiliki storan lebih besar 32GB dan kapasiti bateri 3,120mAh. Skrin Redmi 4A juga lebih kecil, hanya 5-inci HD tetapi harganya cuma RM469.

Jika anda berminat untuk mendapatkan Redmi Note 5A, tempahan kini telah dibuka oleh DirectD dan Mobile 2 Go. Mobile 2 Go memaklumkan akan mula menjual pada 10 Oktober, manakala DirectD pula menyatakan pada 11 Oktober.

Dua pilihan warna disediakan iaitu Emas dan Kelabu. Jika anda mahu mengenalinya dengan lebih lanjut, boleh cuba terjemahkan laman produk Redmi Note 5A di Mi China.

Apa komen anda?