Peminat iPhone 8 di Malaysia lebih ramai dari Indonesia, Vietnam dan Thailand

Share Button

Tarikh jualan iPhone 8 dan 8 Plus baru sahaja diumumkan Apple Malaysia. Harganya pula, mungkin menghampiri kenyataan yang dikeluarkan oleh 11street. Tetapi adakah rakyat Malaysia masih berminat untuk membeli telefon pintar terbaru Apple?

Untuk itu, iPrice Group telah menjalankan satu kajian melalui Google Trends untuk melihat tahap minat rakyat Malaysia dengan iPhone yang baru ini. iPrice Group merupakan laman carian-meta, di mana rakyat Malaysia boleh membuat perbandingan harga dan spesifikasi produk dengan mudah.

Kajian oleh iPrice Group ini dibuat selama 7 hari, dari hari pelancaran pada 12hb hingga 18hb September 2017. Kata kunci “iPhone X” dan “iPhone 8” didapati mula meningkat seawal jam 3 pagi pada 13 September, sewaktu ia diumumkan secara langsung dari Amerika Syarikat.

Puncak kedua pula dilihat pada jam 7 pagi, tetapi ia tidak setinggi jam 3 pagi. Ini menandakan, ramai rakyat Malaysia yang berjaga menonton pelancaran secara langsung dari Amerika Syarikat.

Kajian ini juga meliputi negara jiran iaitu Indonesia, Vietnam dan Thailand. Satu perbezaan ketara mereka dan Malaysia adalah, ketiga-tiga negara ini lebih berminat dengan iPhone 6 dan iPhone 7, berbanding iPhone 8 dan iPhone X di Malaysia.

Ia mungkin kerana rakyat Malaysia lebih berkemampuan memiliki telefon pintar baru berbanding negara lain, lebih-lebih lagi Malaysia berada di tempat ketiga dalam Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) per kapita di Asia Tenggara.

Berlainan pula dengan carian model iPhone Plus. Rakyat Malaysia memberi lebih minat kepada harga iPhone 7 Plus berbanding iPhone 8 Plus. Harga iPhone 7 Plus diumumkan penurunan pada hari yang sama pelancaran iPhone 8 Plus, malah dalam kapasiti storan lebih tinggi iaitu RM3,849 bagi model 128GB. Manakala iPhone 8 Plus dijangka berharga RM4,149 bagi model 64GB.

Seperkara lagi, ramai orang mengambil sikap tunggu dan lihat, menantikan ketibaan iPhone X. Jadi ramai yang menangguhkan pembelian iPhone 8 Plus.

Dalam satu lagi kajian lain, fungsi iPhone yang popular sepanjang 7 hari tersebut adalah skrin dan kamera. Pengecas dilihat kurang dicari, tetapi yang jauh lebih rendah cariannya adalah tentang Face ID dan Animoji. Nampaknya orang Malaysia tak kisah sangat tentang kecanggihan Face ID.

Adakah kajian iPrice Group ini sama seperti yang anda rasakan? Atau anda tergolong dalam mereka yang akan membeli iPhone 8 dan 8 Plus pada 20 Oktober akan datang?

[SUMBER: iPrice.my]

Apa komen anda?