Maxis One Prime beri internet tanpa had dalam dan luar rumah

Share Button

Maxis akhirnya menyertai perang internet tanpa had, tetapi ia datang dengan syarat dan terma. Maxis One Prime hari ini dilancarkan untuk memberi pengguna internet tanpa had bukan sahaja di rumah, tetapi bergerak di luar rumah.

Maxis One Prime adalah gabungan Maxis Home Fibre dan pelan internet mudah alih Maxis One. Ia ditawarkan dari serendah RM367 sebulan, yang memberikan kelajuan Fiber 30Mbps di rumah dan 4G LTE di luar, tanpa had penggunaan.

Ia bukan sahaja memberikan internet tanpa had, malah bersama panggilan dan SMS tanpa had. Maxis turut menawarkan kelajuan Fiber lebih tinggi, 50Mbps dengan berkadar RM407 sebulan, dan 100Mbps RM487 sebulan.

Melalui pelan ini, pengguna Maxis menjanjikan sifar downtime. Ini kerana modem Maxis Home disertakan bersama kad sim 4G di dalamnya. Jika talian fiber bermasalah, ia akan bertukar ke talian 4G secara automatik. Jadi pengguna tidak akan terputus dari internet di rumah.

Untuk memberi ketenangan minda sekeluarga, Maxis One Prime turut membenarkan sehingga 4 talian mudah alih tambahan, dengan menambah RM48 sebulan bagi setiap talian. Untuk melengkapkan hiburan di rumah, pengguna Maxis One Prime juga boleh mendapatkan peralatan elektrik seperti TV, dengan bayaran ansuran di dalam bil.

Untuk memastikan talian internet yang terbaik di rumah, pasukan Maxperts akan membantu pengguna mengoptimasi capaian Wifi dan peranti. Talian dedikasi khas Maxperts akan disediakan untuk pengguna Maxis One Prime.

Secara ringkas, Maxis One Prime adalah gabungan pelan Maxis One Home 30Mbps RM179 dan Maxis One 188, menjadikan jumlahnya RM376. Jika ada melanggan salah satu atau kedua-dua pelan ini, mungkin lebih baik untuk menaik tarafnya ke Maxis One Prime untuk mendapatkan internet tanpa had.

Untuk maklumat lanjut, layari laman Maxis One Prime.

Apa komen anda?