Kuasa terjemahan Pixel Buds bakal merubah dunia

Share Button

Salah satu produk baru yang dilancarkan Google pagi tadi dan sangat menarik perhatian penulis adalah set fin kepala Pixel Buds. Sekali pandang, ia seperti set kepala wayarles Bluetooth yang biasa. Tetapi Google menjadikannya jauh lebih canggih dari itu.

Pixel Buds datang dalam tiga warna yang sama seperti Pixel 2, buat gandingan sepadan jelas Google. Keupayaan baterinya membolehkan ia memberi masa dengar sehingga 5 jam.

Ia dicas melalui perumah yang turut bertindak sebagai powerbank. Jika dicas penuh, perumah ini boleh memberikan tenaga kepada Pixel Buds untuk pengecasan berulang kali dan masa penggunaan sehingga 24 jam.

Seperti produk Google lain, Pixel Buds berinteraksi secara terus dengan Google Assistant. Pelbagai pertanyaan boleh diberikan dan Google Assistant akan memberikan jawapan setepat mungkin.

Tetapi fungsinya yang paling hebat adalah kebolehan membuat terjemahan masa nyata. Bayangkan anda berada di Jepun dan boleh memahami semua tutur kata mereka dengan bantuan Pixel Buds.

Terjemahan masa nyata di Pixel Buds menyokong sehingga 40 bahasa buat masa ini. Ia boleh digunakan bersama pelbagai telefon pintar Android, yang menjalankan Marshmallow 6.0 dan ke atas.

Tidak salah jika dikatakan, Pixel Buds ini sama seperti kek penterjemahan Doraemon. Cuma untuk berbual secara aktif, kedua-dua orang perlu memiliki Pixel Buds.

Penjualan Pixel Buds akan bermula sekitar November 2017, dengan tempahan telah mula dibuka sekarang di beberapa negara terpilih. Dengan harga jualan USD159 (~RM679), ia pastinya dapat membantu perjalanan anda di luar negara lebih mudah, di samping memberikan hiburan yang berpanjangan.

Untuk mengenali dengan lebih lanjut, layari laman produk Google Pixel Buds.

Apa komen anda?