iPhone 8 Plus Tak Mungkin Tewas Teruk Kepada Pixel 2

Share Button

Pagi tadi Google baru saja melancarkan Pixel 2 dan mereka berbangga kerana sekali lagi berjaya menawan carta DxOMark apabila mencatatkan skor 98 sekaligus menewaskan Galaxy Note8 yang menduduki carta paling atas cuma beberapa hari saja bersama iPhone 8 Plus.

Jika kita lihat pada skor carta DxOMark untuk telefon pintar, Pixel 2 adalah satu-satunya yang meninggalkan pesaing terdekat dengan 4 mata. Telefon lain yang mencatatkan skor sekurang-kurangnya 80, semuanya tewaskan pesaing terdekat dengan 2 mata saja kecuali iPhone 7 Plus vs iPhone 7 yang berjarak 3 mata.

Secara relatif, ia adalah satu peningkatan yang amat ketara. Tapi adakah Pixel 2 memang nyata lebih baik berbanding iPhone 8 Plus?

Pertama mari kita lihat skor DxOMark untuk kedua-dua telefon. Setiap telefon akan menerima dua skor set, satu untuk foto dan satu untuk video.

Kemudian, kita gabungkan skor itu dalam satu graf dan lihat peratus perbezaan antara skor Pixel 2 melawan iPhone 8 Plus. Angka positif melambangkan skor Pixel 2 lebih tinggi berbanding lawannya sebanyak X peratus manakala angka negatif melambangkan skor iPhone 8 Plus lebih tinggi berbanding lawannya sebanyak X peratus.

Cuba kita lihat pada graf pertama terutamanya dalam kategori autofocus dan zoom. Dalam kategori ini, perbezaan melebihi 32% berjaya diperoleh dan kedua-dua telefon masing-masing memenangi satu kategori.

Tapi saya nak petik tiga daripada sembilan ujian ini iaitu autofocus, zoom, dan bokeh untuk dihuraikan lebih lanjut.


Autofokus

Ujian Autofokus Pixel 2

Ujian Autofokus iPhone 8 Plus

Hasil ujian autofokus menunjukkan Pixel 2 lebih konsisten dalam memburu fokus, ia hasil daripada penggunaan teknologi Dual Pixel untuk mencari fokus dalam ruang 3D, berbanding iPhone yang masing menggunakan pengesanan fasa (PDAF) tradisional. Tapi adakah ia bernilai 32%?

Zoom

Hasil ujian zoom Pixel 2 (atas) dan iPhone 8 Plus (bawah)

Dalam ujian mengezum, skor iPhone 8 Plus lebih tinggi berbanding Pixel 2 sebanyak 37%. Ia tidak menghairankan kerana iPhone 8 Plus hadir dengan kamera kedua berjarak fokal yang lebih jauh untuk mengambil gambar jauh manakala Pixel 2 hanya bergantung pada zum digital.

Cuba anda amati gambar yang sudah di-crop 100%. Pixel 2 gagal menangkap butir wajah dan hanya mampu memaparkan warna sebaliknya iPhone 8 Plus masih berjaya merakam anak mata lebih jelas.

Bokeh

Hasil ujian bokeh untuk Pixel 2 (atas) dan iPhone 8 Plus (bawah)

Ini adalah hasil ujian bokeh. Pixel 2 (atas) kononnya tidak memerlukan kamera kedua untuk mengukur kedalaman bagi menjana simulasi  bokeh. Tapi lihat sajalah hasilnya berbanding iPhone 8 Plus (bawah). Pixel 2 gagal memisahkan subjek dengan latar belakangnya dan bokeh yang terhasil memang comot.

Jelas sekali konfigurasi dwikamera masih lagi sesuatu yang ideal untuk mengukur kedalaman. Tapi, iPhone 8 Plus hanya berjaya mengatasi Pixel 2 sebanyak 18%.


Kesimpulan

Kamera iPhone 8 Plus Tak Mungkin Tewas Kepada Pixel 2 kerana perbezaan 4 skor pada carta DxOMark bukanlah menandakan kamera Pixel 2 jauh meninggalkan iPhone 8 Plus. Anda perlu memasukkan faktor manusia seperti ketaktekalan dalam memberi skor. Tambahan pula, ujian seperti warna dan tekstur adalah sesuatu yang subjektif dan amat sukar untuk memberi skor yang selari dengannya.

Kedua-dua telefon memiliki kelebihannya yang tersendiri. iPhone 8 Plus misalnya mempunyai kamera kedua yang boleh mengezum secara fizikal dan gambar potretnya lebih baik. Maka, jika anda suka mengambil gambar portret, iPhone 8 tidak mungkin mengecewakan.

Pixel 2 pula menggunakan teknologi Dual Pixel untuk membidik fokus. Ia jauh lebih pantas daripada PDAF konvesional. Jurugambar jalanan pasti menggemarinya kerana sejurus keluar daripada poket, gambar boleh terus diambil tanpa lengah masa yang terlalu panjang bagi memastikan tiada aksi yang terlepas.

Maka, kita patut manfaatkan sepenuhnya apa saja kamera yang ada dalam poket kita dan tidak perlu terpengaruh dengan ujian-ujian sebegini yang jelas sekali hanya bermotifkan komersial.

Apa komen anda?