Huawei Kirin 970 pemproses pertama dengan kecerdasan buatan

Share Button

Tidak lama lagi, Huawei akan melancarkan telefon pintar baru dari siri Mate, iaitu Huawei Mate 10. Bersamanya, Huawei akan turut memperkenalkan pemproses pintar (AI) yang dikatakan pertama seumpamanya di dunia, Kirin 970.

Baru-baru ini, Huawei turut menggantikan Apple ke tempat kedua dalam jualan telefon pintar sedunia. Menurut Huawei, ia disumbang oleh pelaburan mereka dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pembuatan.

Sedang pembuat telefon pintar lain memberi fokus utama kepada fungsi kamera, Huawei memilih untuk memberi fokus kepada kecerdasan buatan (AI), di mana ia dilihat sebagai keperluan utama telefon pintar di masa akan datang.

Kirin 970 adalah CPU 8-teras berkuasa tinggi, dihasilkan dari proses 10nm untuk kawalan tenaga yang lebih baik. Ia juga memiliki pemproses grafik (GPU) 12-teras dan menyokong rangkaian LTE CAT18, yang turut mampu menggunakan rangkaian 4G secara aktif pada kedua-dua kad SIM.

Paling utama adalah AI yang dimuatkan ke dalam Kirin 970 menerusi pemproses neural (NPU). Dengan kuasa NPU, ia boleh mengurangkan beban CPU & GPU, dan memfokuskan tenaga kepada tugasan berasaskan AI seperti mengenalpasti dan menyusun atur gambar, atau mengoptimasikan prestasi telefon.

Dalam satu ujian yang ditunjukkan kepada media, pemproses Kirin 970 boleh memproses sehingga 2,000 gambar dalam seminit, jauh mengatasi pemproses jenama lain. Pembangun lain juga boleh menggunakan kuasa AI di dalam NPU Kirin 970, menerusi API Huawei.

Kirin 970 (kiri) dan Galaxy S8 (kanan)

Di atas kertas, Kirin 970 sememangnya sesuatu yang luar biasa kuasanya. Tetapi di akhirnya, adakah ia boleh menjadikan hidup pengguna lebih mudah dan pintar? Kita perlu tunggu dan lihat ketibaan Huawei Mate 10 tidak lama lagi.

Apa komen anda?