Telefon Papan Kekunci lebih hebat dari BlackBerry KEYone muncul

Share Button

BlackBerry memang sangat berbangga dengan KEYone yang menggabungkan sistem operasi Android pelbagai guna, bersama papan kekunci fizikal serta sistem keselamatan terbaik BlackBerry. Tetapi ada yang lebih hebat dari KEYone dilihat akan tiba di Malaysia.

KEYone Limited Edition Black atau Edisi Terhad Hitam telah timbul di laman web DirectD. Ia dinyatakan adalah set rasmi Malaysia yang diedarkan Brightstar dan kini telah membuka tempahan. Ia dijangka akan mula dihantar sekitar 20-21 September 2017.

Yang menariknya, harga BlackBerry Edisi Terhad Hitam ini dikekalkan sama dengan edisi biasa, iaitu RM2,688. Sedangkan ia memiliki perkakas lebih hebat, seperti ram dan storan ditingkatkan kepada 4GB+64GB, berbanding 3GB+32GB pada edisi biasa.

Secara logiknya, BlackBerry KEYone edisi biasa pastinya akan turun harga jika Edisi Terhad Hitam ini masih di harga yang sama. Kami anggarkan, ia mungkin dipotong RM300 menjadi RM2,388.

Perbezaan paling ketara adalah warna hitam pada seluruh badan. Tiada lagi bingkai berwarna perak serta garisan perak di papan kekunci. Hitam sepenuhnya, atau kata orang putih, All Black. Macma ni baru betul-betul peranti BlackBerry.

Selain dari itu, KEYone Edisi Terhad Hitam dan KEyone edisi biasa adalah sama. Pemprosesnya Snapdragon 625, baterinya 3,505mAh yang boleh bertahan dua hari, pengecasan pantas melalui USB-C, kawalan keselamatan tertinggi BlackBerry bersama DTEK serta jaminan kemaskini keselamatan terpantas setanding Google Pixel.

Cuma satu perkara yang dinantikan, adakah Edisi Terhad Hitam ini akan menyokong dwi-sim? Kerana edisi biasa hanya boleh menggunakan satu sim sahaja. Laman web DirectD menyatakan ia hanya menyokong satu sim, tetapi harapnya pengumuman rasmi dari Brightstar kelak memberikan jawapan berbeza.

Ingin kenali BlackBerry KEYone dengan lebih dekat? Rujuk pengalaman kami di Test Produk BlackBerry KEYone sebelum ini, atau layari laman web www.blackberrymobile.com.

Apa komen anda?