SKMM Ambil Langkah Tepat Halang Tuhan Berperang

Share Button

Kecoh satu dunia apabila pihak berkuasa Malaysia menyekat perkhidmatan Steam daripada Internet-nya gara-gara (Fight of Gods) FoG.

Menurut portal TheStar, sekatan itu diarahkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) selepas mereka berpendapat permainan itu telah melanggar Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana didapati menyebarkan kandungan yang mengkeji.

Akses Steam sudahpun dipulihkan tetapi permainan ini sudah tidak boleh dimuat turun oleh pengguna Steam di Malaysia.

FoG sudah tiada dalam senarai harga

FoG adalah sebuah permainan dengan tema gocoh seperti Street Fighter yang dibangunkan oleh sebuah syarikat kerdil dari Taiwan. Ia menampilkan 9 karakter yang diambil insipirasinya daripada agama, mitos, dan karya sastera dari seluruh dunia.

Sejauh mana kejinya FoG? Mari kita lihat 9 karakter yang ada dalam permainan ini.


Amaterasu

Amaterasu adalah ikon utama dalam agama Shinto yang berasal dari Jepun. Dia ialah dewi matahari dan juga alam semesta. Kewujudan Amaterasu terjadi selepas Izanagi membasuh mata kirinya di sungai Woto. Dua lagi adik-beradik Amaterasu ialah Susanoo, dewa ribut, dan Shina-tsu-hiko, dewa angin.


Anubis

Sebagai dewa tertua dalam agama Mesir purba. Anubis dikaitkan dengan pemumiaan dan kehidupan selepas mati. Dia bertugas sebagai penjaga makam, pemelihara jasad si mati, dan membantu roh selepas mati. Warna hitam badannya melambangkan kesuburan yang dibawa oleh Sungai Nil


Athena

Athena ialah penaung kepada kota Athens dan turut bertugas sebagai dewi perang, kebijaksanaan, dan kemahiran. Dia ialah anak kepada Zeus dan Metis. Athena lahir selepas dahi Zeus ditetak menggunakan sebilah labrys, tukul kepala berkembar. Dia yang sudah dewasa keluar melalui celahan dahi Zeus lengkap bersenjata, sedia untuk berperang.


Buddha

Gautama Buddha adalah individu daripada Nepal yang hidup sekitar 563 hingga 483 sebelum Masihi. Dialah yang menubuhkan ajaran Buddha selepas bermeditasi selama 49 hari di bawah pokok Bodhi. Duduk gaya teratai adalah posisi duduk terkenal yang diajar oleh Buddha khas untuk bermeditasi.


GuanGong

GuanGong ialah seorang general yang hidup sekitar 160 hingga 219 masihi. Dia bersama-sama sahabatnya, Liu Bei menentang dinasti Wei untuk menubuhkan dinasti Shu Han. Nama GuanGong diabadikan oleh Luo Ben, seorang penulis yang hidup sekitar 1330 hingga 1400, dalam karyanya Romance of The Three Kingdoms.


Jesus

Jesus Christ adalah tokoh suci utama dalam agama Kristian. Doktrin Kristian menyatakan bahawa Jesus telah dilahirkan oleh seorang perempuan dara bernama Mary. Dia memiliki kuasa sakti, menubuhkan ajaran Kristian, mati dipancang salib untuk menebus kesalahan, hidup kembali sebelum diangkat ke “Syurga”, dan akhirnya kembali ke bumi untuk melawan kejahatan.


Moses

Pada zaman mesir purba, firaun mengarahkan semua kanak-kanak lelaki yang baru lahir dilemaskan dalam sungai Nie kerana percayakan  satu ramalan yang takhtanya akan dirampas oleh seorang lelaki. Walau bagaimanapun, seorang bayi lelaki berjaya dibesarkan oleh puteri kandung firaun tersebut tanpa menyangka bayi itulah yang akan menghancurkan empayar firaun masuk ke Laut Mati.


Odin

Odin adalah ketua kepada keluarga Æsir. Dia ialah Bapa kepada semua Tuhan Nordic dan tinggal di Asgard. Dia turun ke medang perang menunggang Sleipnir, kuda berkaki lapan. Kemudian, dia juga bertarung menggunakan lembingnya yang bernama Gungnir dan miliki Hugin dan Munin, dua ekor gagak yang sentiasa melaporkan apa yang terjadi di sekeliling jajahan takluknya.


Sif

Sif ialah isteri kepada Thor dan dikaitkan dengan kesuburan. Rambut Sif yang berwarna perang melambangkan tumbuhan gandum yang sedang ranum.


Zeus

Sesudah dewasa, Zeus telah merancang untuk merampas takhta ayahnya Cronus. Dia telah membebaskan Cyclopes dan Hecatonchires, adik-beradik Cronus. Sebagai balasan, Cyclopes menganugerahi Zeus senjata petir. Zues kemudiannya berperang dengan semua Titans termasuklah Cronus dalam perang Titanomachy sebelum bersemayam di Gunung Olympus dan mengambil posisi sebagai tuhan petir.


SKMM Ambil Langkah Tepat

Tindakan SKMM untuk menghalang keseluruhan domain steampowered.com berlaku selepas pihak SKMM mengeluarkan notis 24 jam untuk pihak Steam menurunkan permainan FoG. Oleh sebab tiada maklum balas daripada pihak Steam, SKMM bertindak menghalang akses menerusi DNS.

Kami berpendapat, terdapat tiga sebab yang mungkin digunakan oleh SKMM untuk mengadakan sekatan tersebut.

Pertama adalah, Jesus dan Moses boleh juga merujuk pada dua orang tokoh nabi dan rasul dalam agama Islam tambah-tambah lagi umat Islam memang tidak menggunakan agama sebagai sumber humor.

Hujah kedua adalah kemajmukan masyarakat di Malaysia harus dipelihara. Bukan saja penganut Islam, malah penganut Kristian turut menerima impak dek kehadiran Jesus dan Moses dalam permainan itu.

Yang terakhir adalah setakat ini, masih belum pernah permainan video memasukkan imej Jesus.

Tambah menggusarkan, pihak pembangun telah meminta cadangan daripada pemainnya berkaitan karakter apa yang ingin mereka lihat dalam FoG. dan ramai yang meminta Muhammad.

FoG adalah sebuah permainan yang besar potensinya kerana masih sedikit pemainan bergenre fighting yang melibatkan karakter mitologi. Karakter mitos seperti Thor ataupun lagenda-lagenda dalam novel Romance of Three Kingdoms masih boleh digunakan.

Tambah menarik, mereka boleh bersumberkan sumber sastera nusantara dan menggunakan watak seperti Hang Tuan dan Gatotkaca.

Adakah anda ingin bermain FoG?

Comments

Apa komen anda?