Qualcomm beri petunjuk iPhone selalu di belakang Android

Share Button

Bagi peminat telefon pintar, nama Qualcomm adalah sesuatu yang penting semasa membuat pembelian. Ramai yang sentiasa memilih telefon pintar yang dikuasakan Qualcomm Snapdragon berbanding Mediatek, mahupun Samsung Exynos dan Huawei Kirin.

Sebelum Tim Cook memperkenalkan iPhone 8, 8 Plus dan iPhone X semalam, Qualcomm sempat mengeluarkan satu artikel berkenaan telefon pintar Android yang sering menjadi yang pertama menggunakan teknologi terbaru. Kebanyakan teknologi ini dijayakan dengan penggunaan pemproses Qualcomm.

Walaupun banyak teknologi dan model telefon pintar yang disenaraikan, kebanyakan teknologi terbaru ini boleh didapati di barisan flagship seperti Samsung Galaxy S8, HTC U11 dan juga Sony Xperia XZ Premium.

Antara yang boleh diperkatakan adalah pengecasan pantas, skrin tanpa bingkai, kalis air dan debu, Bluetooth 5.0, paparan HDR dan banyak lagi. Semua teknologi yang disebut tadi, juga terdapat di dalam iPhone X yang baru dilancarkan pagi tadi.

Ada yang mengatakan, Qualcomm menghasilkan jadual teknologi pertama dalam peranti ini adalah untuk merendahkan telefon pintar baru iPhone. Tidak dapat disangkal, iPhone sering ketinggalan dalam penggunaan teknologi terbaru. Tetapi iPhone X yang tiba pagi tadi merapatkan jurang apabila teknologi di dalamnya kini sebaris model flagship Android.

Perkara sebegini sering menjadi punca pertelagahan peminat tegar Android dan iPhone. Tetapi bagi Qualcomm, ia mungkin lebih dari itu kerana terdapat kes mahkamah di antara Apple dan Qualcomm sedang berjalan. Ia dilihat kesinambungan kepada peperangan Qualcomm dan Apple ini.

Adakah penting untuk sesuatu peranti flagship disertakan teknologi canggih terkini yang sering dilakukan pengeluar Android, atau memasukkannya satu persatu secara perlahan-lahan seperti di iPhone?

Anda bersetuju dengan kenyataan Qualcomm, di mana Android sering menjadi yang pertama dalam teknologi mudah alih? Atau ada teknologi di mana iPhone adalah yang pertama? Jom kongsikan bersama kami.

[SUMBER: Qualcomm]

Apa komen anda?