Pengguna perisian CCleaner berisiko tinggi digodam

Share Button

CCleaner merupakan perisian utiliti yang banyak digunakan pengguna komputer, kerana fungsi pembersihannya membantu menjadikan komputer lebih lancar. Tetapi pengguna kini terdedah kepada risiko digodam kerana pepijat yang ditemui.

Jika anda menggunakan CCleaner versi 5.33 (ditawarkan untuk muat turun antara 15 Ogos – 12 September) atau CCleaner Cloud 1.07 (dilancarkan pada 24 Ogos), maka anda termasuk dalam risiko kerana ia adalah versi yang ditemui mempunyai pepijat yang mendedahkan pengguna kepada penggodam.

Pepijat ini ditemui oleh penyelidik di Cisco Talos dan mereka menyatakan, penggodam boleh menjalankan kod arahan dari jarak jauh melalui pintu belakang. Ia boleh menghantar keluar beberapa data seperti nama komputer, alamat IP, senarai aplikasi yang dipasang, senarai aplikasi aktif dan senarai rangkaian.

Piriform, pembina aplikasi CCleaner dan dimiliki oleh firma keselamatan Avast, telah menyedari tentang masalah ini. Mereka telah mengeluarkan kemaskini untuk kedua-dua versi yang bermasalah itu. Pengguna diminta untuk mengemaskini CCleaner mereka ke versi 5.34.

Dilaporkan CCleaner 5.33 telah dimuat turun sebanyak 2.27 juta kali. Anda mungkin salah seorang darinya, jadi segera buang versi bermasalah ini dan muat turun versi 5.34 di laman web Piriform.

[SUMBER: Malwarebytes, Piriform]

Apa komen anda?