Pelanggan berkurang tidak halang Celcom catat keuntungan

Share Button

Pasaran telekomunikasi dilihat mencapai tahap tepu, di mana semakin sukar untuk mendaftar pelanggan baru. Tetapi berkurangnya pelanggan bukannya bererti keuntungan menurun, sepertimana yang dicatatkan Celcom dalam laporan prestasi suku kedua 2017 mereka.

Pelanggan Celcom didapati menurun pada suku kedua tahun ini, berbanding suku pertama. Sebanyak 3.1% penurunan pelanggan dicatatkan, dari 10.25 juta kepada 9.93 juta orang.

Walaubagaimanapun, pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) meningkat 7.2% pada suku kedua, iaitu sebanyak RM630 juta daripada RM587 di suku pertama.

Keuntungan selepas cukai, pelunasan dan kepentingan minoriti (PATAMI) juga menaik kepada RM330 juta, 22.9% kenaikan berbanding RM269 juta di suku pertama.

Peningkatan kali ini banyak disumbang dari pendapatan data yang melonjak 27.6% tahun ke tahun (YoY) kepada RM706 juta, menyumbang 43.5% kepada jumlah pendapatan syarikat. Penggunaan data di suku kedua turut meningkat sebanyak 23.2% berbanding suku pertama, kepada 6.2GB sebulan berbanding 5.0GB suku sebelum itu.

Dari kiri: Michael Kuehner, Jennifer Wong dan Azwan Khan

Laporan ini dibentangkan kepada media oleh Ketua Pegawai Eksekutif Celcom, Michael Kuehner bersama Ketua Pegawai Kewangan, Jennifer Wong dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Celcom, Azwan Khan.

Michael berkata, beliau berpuas hati dengan prestasi suku tahunan yang menunjukkan tanda-tanda positif dalam industri yang semakin tepu. Menambah baik pendekatan bagi memenuhi kehendak pengguna serta menyelaraskan pengurusan kewangan dan operasi merupakan kaedah yang digunapakai dalam mengekalkan pertumbuhan Celcom.

Celcom juga mepertingkatkan ekosistem jualan dan pengedar, seperti mengadakan program pendigitalan pengedar yang menambah baik pengalaman pengedaran serta penyediaan internet mudah alih di semua premis runcit.

Berkenaan projek pengagihan semula spektrum, Celcom telah berjaya melaksanakannya lebih awal dari tempoh yang ditetapkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM). Di samping itu, Celcom terus komited meluaskan lagi capaian rangkaian LTE, di mana ia telah meliputi 77% pada penghujung suku kedua 2017.

Antara inisiatif yang berjaya dilaksanakan pada suku kedua ialah:

  • GBSHARE – perkongsian pelan internet terbesar Celcom FIRST
  • EasyPhone – pemilikan telefon pintar yang lebih mudah dan berpatutan
  • RCS – Syarikat telekomunikasi pertama di Malaysia melaksanakan penghantaran mesej Android, Rich Communication Services (RCS)
  • Video & Music Walla – Ciri tambahan khusus bagi mempertingkatkan pengalaman melayari kandungan hiburan mudah alih
  • Skuad KAWKAW Xpax – eksklusif untuk pelajar, lebih banyak data tanpa caj tambahan
  • Lightning Fast LTE – Syarikat telekomunikasi pertama di Malaysia memacu kelajuan internet melebihi 400Mbps

Tambah Michael lagi, syarikat optimis dalam peningkatan prestasi perniagaan, dengan fokus yang teguh dalam pengalaman pengguna, serta menguasai kembali pasaran pada penghujung tahun ini.

Apa komen anda?