Nokia 8 Macam Huawei P10 Tapi Signifikan Murah

Share Button

Flagship dari jenama telefon yang paling dinantikan ramai, Nokia 8 kini tampil di Malaysia. Seperti yang dijangkakan, setiap komponen yang sepatutnya terpateri pada papan utama flagship 2017 memang ada pada Nokia 8. Malah, ia diumumkan dengan harga yang diluar jangkaan!

Anda akan menemui cip Qualcomm terhebat masa kini, Snapdragon 835 yang bergandingan bersama RAM seluas 4GB dan storan dalaman 64GB. Jika masih tidak menucukupi, slot mikro-SD masih ada untuk meluaskan storan.

Seperti kebanyakkan flagship 2017, Nokia 8 hadir dengan dua kamera belakang. Kedua-dua kamera menggunakan sensor 13MP F2.0 dengan pembidik fokus laser dan PDAF.

Seperti implementasi kamera berkembar Huawei siri P, kamera kedua Nokia 8 menerima sensor monokrom. Tambah mengancam, ia hadir dengan kaca optik Zeiss yang pernah muncul dulu kala di Nokia.

Lebih menarik kamera depan turut menggunakan sensor 13MP F2.0. Kehadiran kamera yang serupa di depan dan belakang menjadikan Nokia 8 boleh menangkap gambar depan belakang pada kualiti yang serupa.

Malah, Nokia dengan bangganya memperkenalkan istilah Bothie, membuat tangkapan gambar, video mahupun Facebook Live menggunakan kamera depan belakang pada masa yang sama.

Bothie – tangkap gambar guna kamera depan belakang serentak

Sistem operasi Android yang digunakan adalah siri Nougat dan bebas daripada sebarang UI tambahan ataupun bloatware.

Yang menguasakan semua kelengkapan elektronik telefon ini adalah sebuah bateri berkapasiti 3,090 mAh. Ia ada pengecasan pantas Qualcomm Quick Charge 3.0 melalui USB-C, tetapi tidak boleh dicas secara wayarles.

Nokia 8 telah mula dijual hari ini pada tanda harga yang sangat menarik, iaitu RM2,299. Paling murah untuk peranti Snapdragon 835, cuma kalah dengan Mi 6 yang berharga RM1,899. Empat pilihan warna disediakan iaitu Polished Blue, Polished Copper, Tempered Blue dan Stainless Steel.

Apa komen anda?