Nama iPhone 7s lebih tepat untuk iPhone 8

Share Button

Slot pembentangan memperkenalkan iPhone 8 dirasakan sangat pantas dan ringkas. Ia mungkin dibuat kerana tidak banyak perubahan pada iPhone 8 berbanding iPhone 7. Malah kebanyakan khabar angin yang berlegar beberapa hari sebelum ini hampir tepat kesemuanya.

Selepas Apple Watch Series 3 diperkenalkan, Tim Cook dengan pantas membuat pengenalan tentang iPhone 8. Beberapa slaid awal terus membuktikan, rekaan iPhone 8 saling tidak tumpah dengan iPhone 6, atau iPhone 7.

Ini adalah slaid iPhone 8, bukan iPhone 7

Perubahan ketara di bahagian luaran iPhone 8 adalah badan belakangnya tidak lagi diperbuat dari besi, sebaliknya ia menggunakan kaca. Perubahan ini dibuat untuk memberikan iPhone 8 satu fungsi baru yang penting, iaitu pengecasan wayarles.

Nasib baik Apple memilih untuk menggunakan standard Qi bagi pengecasan wayarles ini, tidak membuat standard baru yang mementingkan diri. Jadi, iPhone 8 boleh dicas dengan mana-mana pengecas wayarles Qi yang sedia ada dalam pasaran, sama seperti Samsung Galaxy S6, S7 dan S8.

Pemproses sentiasa menerima kemas kini dalam generasi baru iPhone. Bagi iPhone 8, ia dibekalkan pemproses serba baru A11 Bionic. Ia memiliki CPU 6-teras yang lebih berkuasa, serta GPU rekaan Apple yang pertama di dalamnya.

Perkara lain yang dikekalkan adalah seperti pembesar suara stereo, pengimbas cap jari Touch ID, kalis air dan debu IP67 serta paparan Retina HD. Kemasukan baru yang dikesan adalah seperti Bluetooth 5.0 dan sokongan pengecasan pantas.

Di bahagian kamera, sedikit naik taraf diberikan. Kamera belakang di iPhone 8 Plus, kedua-dua lensa kini dibekalkan OIS. Mod potret yang popular di iPhone 7 pula, akan menerima fungsi tambahan pencahayaan ala-ala studio. Rakaman video gerak perlahan dalam resolusi HD Penuh 1080p ditambah sokongan 120fps dan 240fps.

Apple turut mengubah jenis storan bagi iPhone 8, kepada 64GB dan 256GB sahaja. Tiada lagi storan 32GB. Pilihan warna juga dikurangkan kepada tiga jenis, iaitu Silver, Space Grey dan Gold yang berlainan dari warna emas biasa.

Masuk ke bab harga, seperti dijangka harganya meningkat berbanding iPhone 7. Tetapi pengguna menerima storan berganda. iPhone 8 dengan storan 64GB dijual pada harga USD699, manakala iPhone 8 Plus 64GB pula USD799.

Dengan kenaikan harga USD ini, pastinya harga Ringgit Malaysia turut meningkat. Bersiap sedialah melihat harga iPhone 8 bermula lebih dari RM3,199 dan bagi iPhone 8 Plus pula melebihi RM3,799.

Penjualan gelombang pertama akan bermula pada 22 September, manakala gelombang kedua yang terdapat Singapura di dalamnya, bermula dari 29 September. Belum ada berita tentang ketibaannya di Malaysia, tetapi ia mungkin dalam masa sebulan dari tarikh jualan pertama.

Sementara itu, kaji dengan lebih mendalam tentang telefon iPhone baru ini di laman produk iPhone 8.

Ada satu lagi perkara…..

Trackbacks

  1. […] Tim Cook memperkenalkan iPhone 8, 8 Plus dan iPhone X semalam, Qualcomm sempat mengeluarkan satu artikel berkenaan telefon pintar Android […]

Apa komen anda?