Mi MIX 2 lebih canggih dengan harga lebih murah

Share Button

Mewarisi teknologi canggih dari konsep ke realiti, Xiaomi hari ini melancarkan generasi kedua telefon pintar Mi MIX. Mi MIX mendahului jenama lain ketika melancarkan telefon pintar dengan bezel nipis, dan sekali lagi menjadi pelopor dengan Mi MIX 2.

Mi MIX 2 mengekalkan skrin yang memenuhi muka depan telefon, sensor proksimiti ultrasonik serta pembesar suara yang tersembunyi. Mungkin sedikit kekurangan pada jumlah kameranya. Hanya satu kamera belakang, tiada kamera berkembar pada Mi MIX 2.

Skrin Mi MIX 2 lebih kecil, berukuran 5.99-inci tetapi kali ini menggunakan nisbah 18:9, lebih panjang berbanding 16:9 di Mi MIX. Resolusinya HD penuh+ 2160×1080. Badan Mi MIX 2 kali ini menggandingkan bingkai aluminium dan badan seramik yang melengkung di sisi.

Prestasi terhebat dimuatkan di dalam Mi MIX 2. Ia mengguna kuasa pemproses Snapdragon 835 bersama RAM sebanyak 6GB. Mi MIX 2 akan ditawarkan dalam tiga storan iaitu 64GB, 128GB dan 256GB. Baterinya berkapasiti 3,400mAh, menyokong pengecasan pantas Quick Charge 3.0 melalui USB-C.

Satu lagi kelebihan Mi MIX 2 adalah sokongan rangkaian. Mi MIX 2 menyokong 6 mod rangkaian dan 43 band LTE, paling banyak terdapat di dalam telefon pintar. Malah, ia juga menyokong eSIM di mana ia boleh digunakan tanpa perlukan SIM fizikal.

Kamera yang terdapat di Mi MIX 2, menggunakan sensor yang sama seperti kamera utama Mi 6. Sensor Sony IMX386 12MP f2.0 disertakan penstabil imej optikal 4-paksi, memastikan gambar yang tajam dan kurang getaran. Kamera hadapan pula 5MP.

Jika Mi MIX tahun lepas dilancarkan pada harga RMB3,499, Xiaomi mengumumkan harga lebih rendah untuk Mi MIX 2. Semua kecanggihan pada Mi MIX 2 ini boleh dimiliki serendah RMB3,299 (~RM2,127) untuk storan 64GB. Bagi storan lebih besar, 128GB dijual pada harga RMB3,599 (~RM2,320) manakala 256GB pula berharga RMB3,999 (~RM2,578).

Xiaomi turut mengumumkan edisi khas Mi MIX 2 berbadan seramik unibodi. Ia akan memiliki RAM lebih besar, 8GB bersama storan dalaman 128GB. Edisi khas ini akan dijual pada harga RMB4,699 (~RM3,029).

Satu produk yang menarik bukan sahaja kerana teknologi yang canggih dan unik, tetapi dengan harga lebih mampu milik yang menjadi tanda jenama Xiaomi. Tetapi ia pasti akan menjadi jauh lebih menarik jika ia dapat dijual di Malaysia dengan harga yang tidak jauh berbeza dari harga di China.

Ini pastinya alternatif terbaik telefon pintar berskrin penuh yang boleh menyaingi Galaxy S8 mahupun LG G6. Untuk maklumat lanjut, layari laman web Mi MIX 2.

Apa komen anda?