MBPJ sita basikal oBike kerana tiada lesen beroperasi

Share Button

Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ) telah menyita lebih 250 basikal oBike yang terletak di sekitar tepi jalanraya Petaling Jaya. Ia disita kerana mengganggu lalulintas terutama pejalan kaki.

oBike merupakan satu platform perkongsian basikal yang tidak memerlukan pengguna memulangkannya ke tempat khas. Ia disasarkan untuk pengguna yang mahu ke satu lokasi yang dekat terutama pengangkutana awam, seperti dari rumah ke stesen LRT atau stesen bas.

Orang ramai boleh menggunakan basikal oBike melalui aplikasi mudah alih di telefon pintar. Hanya imbas kod QR di basikal, dan ia boleh terus digunakan. Caj yang dikenakan hanya RM1 untuk penggunaan selama 15 minit.

Tetapi berita terbaru dari Petaling Jaya ini membantutkan sedikit usaha oBike ini.

Menurut Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohd Azizi apabila dihubungi TheStar berkata, selain mengganggu laluan, basikal ini turut disita kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen yang sah. Malah oBike turut tidak menghantar sebarang permohonon untuk beroperasi.

Melalui operasi ini, beliau berharap oBike akan bertemu MBPJ dan menggunakan proses yang sah untuk beroperasi di Petaling Jaya. Beliau turut menyokong usaha yang dilakukan oBike ini kerana menyediakan alternatif kepada pengangkutan awam, tetapi ia perlu mengikut undang-undang.

Bayangkan jika ia tidak dipantau dan terdapat pengusaha perkongsian basikal yang lain pula mahu beroperasi, ia akan menjadi lebih kacau bilau. Ia boleh menjadi gangguan lebih besar kepada pengguna jalanraya kelak jika tidak dikawal selia dengan baik, tambah Mohd Azizi.

Pengurus Pemasaran oBike, Elaine Chan pula menjelaskan, mereka sedia maklum tentang basikal yang disita dan telah menghubungi MBPJ untuk memberikan kerjasama. Ia merupakan sedikit salah faham, tambahan lagi tiada lesen bagi platform perkongsian basikal di Malaysia buat masa ini.

Kerana itu, kebanyakan majlis tempatan tidak memiliki undang-undang yang berkaitan dengannya. Contohnya di Subang Jaya, oBike menghantar kertas cadangan dan telah menerima kelulusan untuk beroperasi, tambah Chan.

Jika oBike boleh melakukannya di Subang Jaya, seharusnya oBike berhubung dengan pihak berkuasa tempatan seperti MBPJ terlebih dahulu sebelum mula beroperasi. Pastinya ia dapat menjimatkan masa dan tenaga bukan sahaja petugas oBike sendiri, malah pegawai MBPJ.

Sama seperti Uber dan Grab yang baru memasuki peringkat awal pembentangan undang-undang berkaitannya, perkongsian basikal seperti oBike pasti mengambil lebih masa untuk dikuatkuasakan. Tetapi hasil perbincangan semua pihak terlibat pasti dapat mengurangkan lompong undang-undang di Malaysia.

Selain oBike, satu lagi platform perkongsian basikal telah diumumkan di Malaysia. Mobike telah melancarkan platformnya dengan Setia Alam menjadi lokasi pertamanya.

[SUMBER: TheStar]

Apa komen anda?