Laptop berharga kereta temui tuannya di Malaysia

Share Button

Anda kenal laptop Acer Predator 21 X? Ia adalah sebuah laptop gaming yang bukan sahaja berkuasa tinggi, malah mempunyai tanda harga yang sangat mahal. Pada majlis pengenalannya di Malaysia bulan Mei lepas, ia diumumkan berharga RM39,999. Boleh buat beli kereta kata orang ramai.

Walaupun pada awalnya Acer Malaysia menjangka tiada jualan di Malaysia, akhirnya laptop ini bertemu seorang pembeli yang sanggup membayar harganya yang di luar jangkauan ramai ini.

Mari berkenalan dengan Arsyan Ismail, satu-satunya pemilik laptop Acer Predator 21 X di Malaysia. Kerana minatnya terhadap keunikan Predator 21 X dan menganggapnya ibarat Lamborghini dalam dunia laptop, beliau sanggup mendapatkan laptop ini.

Arsyan (tengah) bersama Pengurus Produk Acer, Jeffrey Lai (kiri) dan Pembantu Pengurus Pemasaran Acer, Roseanna Ho (kanan)

Beliau percaya kepada kata pepatah, “Hidup ini singkat, Nikmati apa yang boleh, beli semasa anda masih boleh”. Apatah lagi, Acer Predator 21 X adalah laptop pertama di dunia yang memiliki skrin melengkung, dengan saiz skrin besar berukuran 21-inci.

Sudah pasti kuasa dalamannya tidak dapat disangkal terbaik di dunia. Ia menggunakan pemproses Intel Core i7-7820HK 4-teras berkelajuan 2.9GHz, dengan RAM DDR4 sebanyak 64GB. Paling penting, 2 kad grafik GeForce GTX1080 bersama 16GB RAM dalam mod SLI dipasang di dalamnya.

Skrin lengkung 21-incinya bukan sahaja besar dan lebar, malah memiliki teknologi NVIDIA G-SYNC untuk paparan lancar sepanjang permainan. Ia juga ditambah kuasa pengesanan mata Tobii, sejenis sensor yang boleh mengesan pergerakan mata dan digunakan di dalam permainan.

Laptop ini juga menggunakan papan kekunci mekanikal bersama kekunci Cherry MX Brown berlampu. Ia memberikan rasa taktil yang lebih responsif untuk pengalaman bermain yang lebih tepat dan jitu. Trackpadnya terletak di kanan papan kekunci, boleh diterbalikkan untuk menjadi kekunci numpad.

Tahniah buat Arsyan, pemilik tunggal Acer Predator 21 X di Malaysia. Jika anda mampu dan sangat meminati sesuatu produk, tidak mustahil anda boleh memilikinya, speerti Arsyan.

Harap-harap, ia bukan digunakan untuk melayari Facebook, Twitter atau Instagram sahaja.

Apa komen anda?